MALANG tidak berbau, seorang lelaki maut selepas kereta Lamborghini yang dinaiki terbabas sebelum terbakar di Kilometer (KM) 57.1 Jalan Bentong-Karak arah Timur di Bentong, pada Ahad. Perkara itu disahkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam kenyataannya. Menurut JBPM, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 9.32 pagi. Susulan itu, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bentong dikejarkan ke lokasi kejadian. "Seorang mangsa yang tersepit di dalam kenderaan itu disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia. "Manakala seorang lagi mangsa yang turut mengalami kecederaan telah dihantar ke hospital oleh orang awam," menurut kenyataan itu. Tambahnya, mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube