PEMANDU bas persiaran yang terbabas ketika turun dari Genting Highlands kira-kira pukul 11 pagi Sabtu telah ditahan reman, kata Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Seri Tiong King Sing. Beliau berkata, lelaki itu disiasat berhubung kemalangan yang meragut nyawa dua warga China. “Kami sedih dengan kejadian itu dan kami akan memastikan siasatan menyeluruh dijalankan,” katanya ketika ditemui selepas melawat lapan mangsa yang dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada Ahad. Turut hadir ialah Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing, dan pegawai lain. Tiong berkata, mengikut siasatan awal, penumpang yang terselamat dalam nahas menyifatkan perjalanan mereka ke Genting Highlands dipenuhi masalah. “Mereka berada di sini untuk perjalanan enam hari lima malam tetapi terpaksa menukar bas mereka tiga kali. Kita dapati agensi pelancongan terbabit telah menyerahkan tugas itu kepada orang lain,” katanya. Tambahnya, kementerian sedang menyiasat sama ada ejen yang bermasalah terlibat dalam kejadian itu atau sebaliknya. “Kita akan tunggu laporan siasatan penuh. Kami tidak teragak-agak untuk menggantung lesen mana-mana pesalah berulang jika mereka didapati bertanggungjawab,” tegasnya. Tiong berkata beliau akan bertemu dengan Kementerian Pengangkutan dan agensinya, Jabatan Pengangkutan Jalan, pada Selasa untuk membincangkan lebih lanjut mengenai peraturan bas persiaran, penyelenggaraan dan penguatkuasaan. “Perlu ada prosedur operasi standard untuk bas persiaran yang membawa pelancong. Sebahagian daripada tanggungjawab dan penguatkuasaan sepatutnya berada di pihak kementerian kita dan kita akan membincangkan perkara ini dengan lebih lanjut semasa mesyuarat,” tambahnya. Terdahulu, dilaporkan pemandu bas berusia 32 tahun itu tidak memiliki lesen memandu dan mempunyai 27 saman trafik lampau atas pelbagai kesalahan. - The Star Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube