SEORANG wanita gagal menahan emosi apabila dia berdepan dengan menantunya yang dituduh di Mahkamah Majistret Batu Gajah, Melaka pada Isnin. Dalam pertemuan singkat itu, Rozita Radzuan, 56, kedengaran mempersoalkan tindakan menantu lelakinya itu yang didakwa membunuh isteri sendiri pada bulan lalu. "Anas! Sampai hati kau bunuh anak ibu. Nisya tu baik. 32 tahun ibu jaganya," ujar Rozita sambil diperhatikan pegawai polis dan petugas media. Rozita kelihatan sebak dipapah oleh ahli keluarganya sambil tertuduh dibawa keluar dari mahkamah diiringi pegawai polis. Terdahulu, tertuduh Hairil Anaas Abdullah, 37, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Gajah atas pertuduhan membunuh Nisya Syahkila Shaharun, 32, pada 20 Jun lalu. ARTIKEL BERKAITAN: Ajal dalam bilik hotel, isteri dibunuh! Suami serah diri di balai polis Namun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh memandangkan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. Untuk rekod, tertuduh didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian isterinya di sebuah bilik hotel di Batu Gajah. Mayat wanita itu ditemukan dalam keadaan cedera ditikam di dalam bilik. Tertuduh dipercayai bertindak kejam ekoran rasa tidak puas hati apabila mangsa membuat tuntutan fasakh. Tertuduh yang juga seorang penganggur didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 tahun hingga 40 tahun serta minimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube