suria

Wanita sahkan anjing Husky teruk dibelasah kini selamat dalam jagaan tapi sangat trauma

Kiri seekor anjing diselamatkan, kanan seorang lelaki didakwa memukul seekor anjing. Foto IG Shimaaris

TANPA belas kasihan, seekor anjing dilihat didera berulang kali oleh seorang lelaki dengan begitu kejam.

Bukan sahaja dipukul, ditampar malah anjing baka Husky itu dilibas oleh individu berkenaan tanpa perikemanusiaan.

Rakaman kejadian yang dipercayai berlaku di sebuah kondominium di Kajang, Selangor itu menjadi tular selepas dikongsi oleh seorang wanita menerusi laman Instagram Shimaaris.

Dalam rakaman itu turut kelihatan seekor anjing lain berada di balkoni di kediaman lelaki berkenaan.

Seorang lelaki dirakamkan memukul seekor anjing berulang kali.

Penderaan itu membangkitkan kemarahan orang ramai yang tidak dapat menerima perbuatan zalim lelaki berkenaan terhadap haiwan.

Dalam perkembangan terbaharu, Shima yang sering menyelamatkan kucing dan anjing terbiar memaklumkan pihaknya berjaya menyelamatkan haiwan yang didera itu.

"Alhamdulillah, kami berjaya mendapat anjing malang itu yang saya namakan Kitster. Anjing selamat dengan saya, ada di vet.

"Buat masa sekarang, biar Kitster berehat dan sedar dia berada dalam jagaan yang baik. Sebelum ini dia sangat trauma dan emosinya terganggu, biarkan dia pulih dengan kasih sayang," katanya lagi.

Shima mendakwa anjing tersebut diserahkan kepadanya secara baik, namun dikatakan terdapat seekor lagi anjing baka Pomeranian yang masih berada di rumah lelaki berkenaan.

"Dia akan serahkan (anjing) kepada saya secara baik apabila tiba masanya," katanya lagi.

Anjing yang diberi nama Kitster kini berada dalam jagaan baik. Foto IG Shimaaris

Sementara itu, Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM) menyifatkan tindakan lelaki di dalam video yang tular bukan sahaja biadab, malah melanggar Akta Kebajikan Haiwan 2015 Seksyen 29.

SAFM dalam satu kenyataan berkata, penganiayaan haiwan boleh dikenakan hukuman denda tinggi atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya.

Sehubungan itu, SAFM menyeru kepada masyarakat untuk segera melaporkan sebarang kejadian kezaliman haiwan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

"Tindakan memukul haiwan secara kejam tidak boleh diampuni. Sebelum memutuskan untuk memelihara anjing, terutamanya baka Husky yang memerlukan perhatian khusus, individu perlu menilai kemampuan mereka untuk memberi masa dan tenaga yang mencukupi.

"Haiwan bukanlah mainan. Mereka adalah makhluk hidup yang mempunyai emosi dan keperluan asasi mereka sendiri," katanya menerusi kenyataan pada petang Selasa.

SAFM juga menuntut keadilan bagi mangsa kezaliman itu dan menekankan kepada JPV untuk mengambil tindakan segera terhadap penjenayah tersebut.

"Marilah kita bersama-sama berdiri menentang kezaliman terhadap haiwan dan memastikan setiap individu yang melakukan tindakan biadab ini dibawa ke muka pengadilan.

"Keadilan harus ditegakkan demi kesejahteraan bersama dan untuk memastikan haiwan-haiwan kita dilindungi daripada sebarang bentuk kezaliman pada masa akan datang," menurut kenyataan itu lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain