MAHKAMAH Persekutuan di Putrajaya pada Selasa, mengekalkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang bekas tukang gunting rambut yang membunuh bayi perempuan berusia 11 bulan yang juga anak asuhan isterinya, enam tahun lalu. Bayi malang itu, Nur Muazara Ulfa Mohammad Zainal atau panggilan manjanya, Zara meninggal dunia pada November 2018, selepas dua hari dilaporkan kritikal di Hospital Serdang, Selangor. Dilaporkan, hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa disebabkan ‘impak dipercayai objek tumpul terhadap kepala', dengan tempurung kepala bayi pecah. Pemeriksaan ke atas mangsa juga mendapati ada kesan koyakan baru pada selaput dara mangsa dan dubur mangsa juga mengalami koyakan. Pada Selasa, panel tiga hakim sebulat suara menolak rayuan akhir Hazmi Majid, 42, terhadap sabitan dan hukuman mati yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 20 Ogos 2021 dan disahkan oleh Mahkamah Rayuan pada 1 Mac 2023. ARTIKEL BERKAITAN: Kematian tragis Zara: Netizen desak jangan mansuhkan hukuman mati ARTIKEL BERKAITAN: Suspek mandikan Zara pada hari kejadian Hakim Datuk Rhodzariah Bujang yang bersidang bersama-sama Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera berpuas hati hukuman yang sesuai dijatuhi adalah hukuman mati kerana jenayah yang dilakukannya sangat kejam. Mengikut pertuduhan, Hazmi yang juga suami kepada pengasuh mangsa disabitkan membunuh Nur Muazara Ulfa di sebuah unit di Pangsapuri Sri Cempaka, Jalan 6/3, Seksyen 16, Bandar Baru Bangi, antara 10.30 pagi dan 1.30 tengah hari, pada 7 November 2018. Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati. Dalam prosiding tersebut, peguam, T Vijay yang mewakili perayu berhujah, Hazmi tidak sedar melakukan perbuatan tersebut kerana berada di bawah pengaruh dadah. Selain itu, dia memohon supaya anak guamnya dikenakan hukuman penjara 30 tahun jika mahkamah mengetepikan hukuman mati. Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Tetralina Ahmed Fauzi selaku responden berkata, rayuan Hazmi itu wajar ditolak. Ini kerana katanya, tindakan perayu cuba melupuskan bahan bukti dengan membasuh tuala bagi menghilangkan darah menunjukkan ketika kejadian berlaku, dia berada dalam keadaan sedar. Pendakwaan berhujah, keterangan mengatakan perayu tidak pernah membantu isterinya namun pada hari itu, dia menawarkan diri memandikan Zara. Pada 29 November 2018, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dengan 12 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kajang kerana memasukkan jari ke dalam kemaluan dan dubur bayi itu. Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 20 tahun dan enam sebatan bagi pertuduhan pertama dan penjara 20 tahun dan enam sebatan bagi pertuduhan kedua. Mahkamah bagaimanapun memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula daripada tarikh tangkap iaitu pada 13 November 2018. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube