suria

Juruteknik kerugian RM167,147, terpedaya keuntungan 20 peratus dari kenalan Facebook

Juruteknik terpedaya pelaburan menguntungkan. -Gambar hiasan

DEMI mempunyai kewangan yang banyak, seorang juruteknik di Seri Alam, Johor Bahru terpengaruh dengan keuntungan skim pelaburan perniagaan yang ditawarkan kenalan Facebook sehingga kerugian sebanyak RM167,147, bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Mohd. Sohaimi Ishak berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada mangsa berusia 36 tahun itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, pada Ahad.

Katanya, mangsa mendakwa telah ditipu oleh seorang kenalan Facebook yang menawarkan skim pelaburan perniagaan atas talian dengan keuntungan 20 peratus dari modal yang dilaburkan.

“Mangsa dikatakan hanya perlu mendaftarkan diri melalui pautan yang diberikan seterusnya mengambil tempahan dari pelanggan dan membuat bayaran dengan mendahulukan wang mangsa.

“Mangsa yang tertarik dengan kaedah yang mudah dan pulangan yang tinggi telah melakukan 21 kali transaksi bayaran secara atas talian ke dalam 14 akaun bank berbeza sejak 29 April hingga 23 Jun lalu yang keseluruhannya berjumlah RM167,147,” katanya pada Isnin.

Mohd. Sohaimi berkata, pembayaran yang dilakukan itu adalah untuk tempahan barangan yang mangsa kumpulkan dari pelanggan dalam talian.

“Selepas melaburkan sejumlah wang tersebut, keuntungan yang diperolehi tidak dapat dikeluarkan membuatkan mangsa sedar dirinya telah ditipu,” katanya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu.

Menurutnya, siasatan juga akan meliputi penglibatan keldai akaun dan tindakan akan diambil terhadap pemilik akaun yang terlibat.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain