suria

Sungai Bakap kekal milik PN, jumlah majoriti bertambah

Abidin Ismail menang N20 Sungai Bakap.

PERIKATAN Nasional (PN) berjaya mengekalkan penguasaan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap selepas calon mereka Abidin Ismail memperoleh 14,489 undi menewaskan pencabarnya daripada Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin yang meraih 10,222 undi.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Khairulnizam Hashim mengumumkan kemenangan Abidin, 56, di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi, Dewan Serbaguna Jawi, Pulau Pinang pada Sabtu.

Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal yang mesra dengan panggilan Abang Bidin menang dengan majoriti 4,267 undi, membolehkan beliau meneruskan legasi bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan terbabit Allahyarham Nor Zamri Latiff.

Berdasarkan statistik SPR, sebanyak 39,222 orang daripada 39,279 pengundi berdaftar layak mengundi manakala 57 orang terdiri daripada anggota polis telah mengundi secara pos yang menyaksikan tiada pusat mengundi awal dibuka untuk PRK itu walaupun tarikhnya ditetapkan pada 2 Julai lalu.

Sebanyak sembilan pusat pengundian melibatkan 65 tempat mengundi atau saluran dibuka sejak pukul 8 pagi.

Peratusan keluar mengundi yang dicatatkan sehingga pusat pengundian ditutup pukul 6 petang merekodkan 63.45 peratus dan 208 kertas undi ditolak.

Mengikut komposisi kaum, pengundi Melayu terdiri daripada 59 peratus, diikuti Cina 22.5 peratus, India 17.4 peratus dan bangsa-bangsa lain satu peratus.

PRK kawasan itu diadakan semula susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang lepas, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal mewakili PN diangkat menjadi wakil rakyat selepas menewaskan calon PH Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain