suria

Prebet Muhammad Syafiq selamat, berjaya jejak tanda pencarian SAR

Prebet Muhammad Syafiq Hilmi Abd Halim ditemui selamat pada Sabtu.

ANGGOTA Batalion Ke-7 Rejimen Sempadan (RS), Prebet Muhammad Syafiq Hilmi Abd Halim yang dilaporkan hilang di sempadan Malaysia-Brunei ketika menyertai Op Ukur di Limbang, Sarawak sejak 18 Jun lalu, ditemui selamat pada Sabtu.

Sel Perhubungan Raya Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam satu kenyataan memaklumkan, anggota tentera itu dijumpai pada pukul 11.29 pagi oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR).

Menurut kenyataan itu, Prebet Muhammad Syafiq berjaya menjejaki tanda-tanda panduan laluan rintis pencarian yang sengaja dibuat di sekitar lokasi pencarian sehingga beliau berjaya menemui lokasi Forward Operating Base (FOB) Tim A.

"Beliau ditemui dalam keadaan selamat lengkap bersama peralatan dan senjata, namun lemah akibat kelaparan dan dehidrasi sebelum diberikan rawatan awal oleh pasukan perubatan di lokasi.

"Pihak keluarga anggota ini telah dihubungi oleh pihak TDM menerusi panggilan telefon dan akan diterbangkan ke Sarawak dalam masa terdekat," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Jelasnya, semua perbelanjaan perjalanan akan ditanggung sepenuhnya oleh TDM.

Sebelum ini, Sel Perhubungan Raya Markas Tentera Darat Malaysia (TDM) memaklumkan, seorang anggota tentera Batalion Ke-7 Rejimen Sempadan (RS) berpangkalan di Kem Kidurong, Bintulu, hilang ketika bertugas dalam Op Ukur di Limbang, Sarawak.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain