suria

Stoking kalimah Allah: Pengasas KK Supermart, 4 individu dilepas dan dibebaskan

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Mart, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan dan isteri, Datin Seri Loh Siew Mui bersama tiga individu lain dilepas dan dibebaskan berhubung isu penjualan stoking tertera kalimah Allah.

MAHKAMAH Sesyen Shah Alam pada Isnin melepas dan membebaskan (DNA) Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Mart, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan dan isteri, Datin Seri Loh Siew Mui atas pertuduhan bersabit isu penjualan stoking tertera kalimah Allah.

Selain Chai, 57, dan isteri, tiga pengarah syarikat pembekal stoking berkenaan, Xin Jian Chang Sdn Bhd turut mendapat perintah yang sama.

Tiga pengarah itu adalah Soh Chin Huat, 61; isterinya, Goh Li Huay, 62; dan anak mereka, Soh Hui San, 36.

Hakim Muhamad Anas Mahadzir memutuskan demikian selepas pendakwaan tidak mahu meneruskan pertuduhan ke atas lima individu berkenaan.

Untuk rekod, dua syarikat dan lima individu ini mengemukakan representasi pada 17 Mei lalu kepada Jabatan Peguam Negara untuk menggugurkan kes berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Penjualan stoking tulisan kalimah Allah cemar kesucian Ramadan... KK Super Mart mohon maaf

Pada 26 Mac lalu, Chai dan Loh yang juga Pengarah KK Super Mart & Superstore mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sengaja melukakan perasaan orang Islam dengan mempamerkan stoking tertera kalimah Allah di rak pameran jualan, yang telah dilihat oleh seorang lelaki berusia 32 tahun.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Bandar Sunway pada jam 6.30 pagi 13 Mac lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara, kesemua pengarah Xin Jian Chang Sdn. Bhd itu pula didakwa bersubahat melakukan kesalahan berkenaan di tempat, tarikh dan masa sama mengikut Seksyen 109 KK dibaca bersama Seksyen 298 KK yang memperuntukkan hukuman sama.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain