MAHKAMAH Sesyen Johor Bharu, Johor menolak pengakuan salah seorang pemungut besi buruk yang dituduh mengabaikan anak remajanya. Hakim Sesyen Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim berkata tertuduh sepatutnya mempunyai peluang dibicarakan untuk membuktikan dia tidak bersalah. Terdahulu lelaki berusia 56 tahun itu mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya pada Isnin. Mengikut kertas pertuduhan, bapa kepada dua anak itu didakwa mengabaikan anak lelakinya berusia 14 tahun yang berada di bawah jagaannya dengan membiarkan dia tidur di sepanjang koridor di luar flat mereka. Insiden itu didakwa berlaku antara 10 malam pada 7 Julai dan 8 pagi pada 9 Julai di sebuah blok rumah pangsa di Pasir Gudang. Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan berdepan denda RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. Selepas membuat pengakuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memberitahu mahkamah bahawa anaknya adalah seorang yang degil dan enggan mendengar kata-katanya. Malah dia mendakwa setiap ahli keluarganya, termasuk mangsa mempunyai kunci rumah pangsa mereka. “Saya beri dia (mangsa) kunci tetapi dia tidak mahu masuk. Tak apa, saya faham.. saya hanya mengaku bersalah. “Dia memang begitu... (dia) tidak mahu mendengar dan satu-satunya cara untuk saya berkomunikasi dengannya ialah melalui isteri. Saya selalu berjaga malam tetapi dia tidak pernah pulang,” tambahnya. Selepas mendengar penjelasannya, Che Wan Zaidi menolak pengakuan itu dan memberi peluang kepada tertuduh membuktikan dia tidak bersalah menerusi perbicaraan. “Pengakuan bersalah mesti dibuat tanpa syarat dan tertuduh mesti mengakui fakta kes. Jika ini (keadaan), kes akan dibicarakan dan mahkamah memberi peluang kepada anda untuk membuktikan anda tidak bersalah," katanya. Ikat jamin ditetapkan RM3,000 dengan seorang penjamin, dan tertuduh diberitahu supaya tidak menghampiri mana-mana saksi termasuk mangsa. Beliau turut menetapkan 29 Julai ini untuk pengurusan kes dan menasihatkan tertuduh melantik peguam. Pendakwaan dilakukan oleh DPP Sharifah Natasha Syed Ahmad. - The Star Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube