suria

Lebih jimat! Tambang baharu Rapid Mobiliti di Kuala Lumpur, Pulau Pinang hanya RM7

Rapid Mobiliti merupakan perkhidmatan pengangkutan eksklusif pintu-ke-pintu.

RAPID Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) menyelaraskan kadar tambang baharu perkhidmatan Rapid Mobiliti di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang kepada RM7, bermula Isnin.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Muhammad Yazurin Sallij, kadar tambang baharu itu adalah untuk dua penumpang bagi setiap tempahan, iaitu seorang penumpang kurang upaya serta pengiringnya.

Ujarnya, kadar tersebut lebih murah dan berpatutan dengan perkhidmatan yang ditawarkan selaras dengan peningkatan kos sara hidup.

"Penyelarasan ini akan beri manfaat kepada penumpang sedia ada, selain menarik komuniti berkerusi roda menikmati perkhidmatan ini," ujarnya.

Selaras dengan kadar tambang baharu ini, Rapid Bus juga memperkenalkan kaedah pembayaran tambang tanpa tunai, di mana para penumpang Rapid Mobiliti boleh membuat pembayaran dengan mengimbas kod QR (Quick Response) yang dipaparkan di dalam kenderaan tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Benarkan ‘pemuda bermotosikal naik bas’, kecoh pemandu Rapid KL mungkin dibuang kerja sebab tak ikut SOP - “Muka garang... nampak sisi lain dia”

Namun, para penumpang masih boleh membayar dengan tunai, sekiranya mereka tidak mempunyai kemudahan kod QR tersebut.

Perkhidmatan tersebut meliputi kawasan Shah Alam, Kajang, Seri Kembangan, Cheras, Subang Jaya, Petaling Jaya, Ampang, Selayang, Kuala Lumpur bagi Lembah Klang.

Bagi penumpang di Pulau Pinang, Rapid Mobiliti hanya ditawarkan untuk kawasan-kawasan di bahagian pulau sahaja buat masa ini.

"Ia antara inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Rapid Bus.

"Menerusi van yang telah diubah suai menggunakan lif hidraulik, kami akan pastikan golongan sasaran khususnya komuniti berkerusi roda dapat bergerak lebih selesa," katanya.

Sebarang maklumat lanjut berkenaan perkhidmatan itu boleh layari laman media sosial Rapid KL @myrapid (Facebook) dan @myrapidkl (Instagram) atau Rapid Penang @rapidpgfans (Facebook) dan @myrapidpg (Instagram).

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain