suria

“Jangan tambah kesedihan kami” - Abang dedah sikap, kebaikan Farah Kartini... Selalu bantu famili, tak suka kongsi masalah

Abang Nur Farah Kartini, Mohd Farriza (kanan) amat terkesan dengan pemergian adiknya.

"HORMATI perasaan kami sekeluarga."

Demikian kata abang kepada Nur Farah Kartini Abdullah, Mohd Farriza Azmi, 28.

Mohd Farriza berkata, pemergian adiknya yang mesra dengan panggilan Farah cukup memberi kesan mendalam buat seluruh keluarganya.

Sehubungan itu, dia berharap agar semua pihak tidak menyebarkan sebarang perkara yang belum sahih susulan kematian adiknya yang merupakan anak bongsu daripada tujuh beradik itu.

"Kami mohon semua termasuk masyarakat supaya menghormati perasaan kami. Sekarang ni kami sedang bersedih dengan pemergian adik, jangan ditambah lagi kesedihan kami dengan perkara yang belum sahih.

"Saya sebagai abang juga meminta netizen-netizen untuk turut menghentikan sebarang spekulasi atau berkata yang tidak baik mengenai adik saya," katanya ketika dihubungi mStar.

Nur Farah Kartini merupakan bekas pelajar UPSI.

Mengakui tidak mengetahui hubungan adiknya bersama suspek, Mohd Farriza turut menafikan dakwaan dia ke lokasi penemuan mayat adiknya.

"Saya tak kenal suspek. Saya juga tidak ke lokasi kejadian, itu (dakwaan) menipu. Saya seorang saja abang dia yang berada di Kuala Lumpur, yang lain di Sarawak," ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Farriza dengan sebak menyifatkan adik perempuannya itu sebagai seorang ceria dan baik dengan keluarga serta abang-abangnya.

"Farah seorang yang baik, ceria dan happy-go-lucky. Kali terakhir kami berhubung beberapa hari sebelum dia hilang.

"Dia ada hantar WhatsApp tanya khabar. Dia seorang adik yang baik, suka tolong abang-abang, seperti saya dia akan tolong kalau ada masalah seperti kewangan.

"Dia akan cepat tolong dan tak pernah berkira. Tapi dia tak selalu cerita atau masalah dia, adik lebih suka berahsia dan pendam," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Posting terakhir Nur Farah Kartini ‘road to convo’ bikin sebak, keputusan cemerlang 4 flat - “Bakal guru hebat tak sempat nak berbakti”

ARTIKEL BERKAITAN: Sah! Lans Koperal suspek kes bunuh Nur Farah Kartini, bertugas di Perak

Mengulas lanjut, kata Mohd Farriza, mereka sepatutnya pulang ke kampung di Miri, Sarawak pada minggu depan.

"Dia nak ikut saya balik kampung pada 25 Julai ni, kami dah beli tiket penerbangan lebih awal. Saya dah pun belikan tiket penerbangan untuk dia," katanya.

Setakat ini katanya, keluarga belum menetapkan keputusan sama ada jenazah akan dibawa pulang ke Miri untuk dikebumikan.

Polis mengesahkan suspek bunuh Nur Farah Kartini adalah seorang anggota PDRM.

Polis mengesahkan suspek bunuh Nur Farah Kartini adalah seorang anggota PDRM.

Terdahulu, misteri kehilangan Nur Farah Kartini yang dilaporkan hilang sejak Rabu lalu terjawab apabila mayat ditemukan dekat Felda Gedangsa, Hulu Selangor pada Isnin.

Bekas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu disyaki dibunuh individu yang dikenalinya.

Media sebelum ini melaporkan mangsa hilang pada Rabu lalu, selepas dipercayai menghantar kereta sewa kepada pelanggan.

Susulan itu, suspek yang juga anggota polis berusia 26 tahun direman selama tujuh hari sehingga 22 Julai bagi membantu siasatan.

Suspek berpangkat Lans Koperal dan bertugas di Balai Polis Slim River.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain