suria

Posting terakhir Nur Farah Kartini ‘road to convo’ bikin sebak, keputusan cemerlang 4 flat - “Bakal guru hebat tak sempat nak berbakti”

Nur Farah Kartini merupakan pelajar pintar. Foto FB Nur Farah Kartini

MISTERI kehilangan seorang bekas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang dilaporkan hilang sejak Rabu lalu terjawab apabila mayat ditemukan dekat Felda Gedangsa, Hulu Selangor pada Isnin.

Mayat Nur Farah Kartini Abdullah, 25, ditemukan dipercayai dibunuh individu yang dikenalinya.

Ketika ini tular posting terakhir Nur Farah Kartini di laman sosial mengenai berita gembira gadis itu menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Multimedia) di UPSI.

Lebih membanggakan, Nur Farah merupakan pelajar cemerlang dan dia turut berkongsi keputusan peperiksaannya dengan Purata Gred Nilai (GPA) 4.0.

Keputusan peperiksaan Nur Farah Kartini di UPSI.

"Bermulanya bab baharu. Alhamdulillah, perjuangan empat tahun dah tamat. Banyak cabaran sepanjang tempoh pengajian ni tapi Alhamdulillah masih dikuatkan jiwa dan raga untuk bertahan.

"Terima kasih juga untuk sahabat yang selalu ada di saat susah dan senang. Struggle nak siapkan tugasan, fyp, laporan, lepas tu tidur berjemaah dekat student lounge semata-mata nak siapkan kerja.

"Jadi sekarang kita road to convo. Kepada bonda tersayang, anak bonda dah besar," tulisnya menerusi satu hantaran.

ARTIKEL BERKAITAN: Misteri kehilangan terungkai... Jasad Nur Farah Kartini ditemukan, dipercayai dibunuh

ARTIKEL BERKAITAN: Penjawat awam ditahan bantu siasatan kes bunuh Nur Farah Kartini

Sementara itu, UPSI dalam hantarannya di Facebook mengucapkan takziah kepada keluarga Nur Farah di atas pemergian graduan pintar itu.

"Takziah kepada seluruh keluarga Allahyarhamah Nur Farah Kartini Abdullah. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman," katanya.

Nur Farah Kartini merupakan bekas pelajar UPSI.

Pempengaruh media sosial yang juga bekas guru, Mohd Fadli Salleh turut terkesan dengan pemergian Nur Farah Kartini sehingga mengundang sebaknya.

"Arwah Farah Kartini baru sahaja grad. Pelajar yang sangat pintar, GPA 4.0. Sebak lihat posting lama arwah yang begitu gembira dan teruja menamatkan pelajaran di menara gading.

"Bakal guru hebat ini tak sempat nak berbakti mengajar anak-anak didik. Jahat sungguh orang yang bunuh arwah.

"Semoga pelaku dikenakan hukuman yang setimpal dengan jenayah yang dia lakukan. Dan semoga syurgalah tempatmu adik Nur Farah Kartini," tulisnya yang dikenali sebagai Cikgu Fadli di Facebook, pagi Selasa.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, mayat Nur Farah Kartini, 25, ditemui kira-kira pukul 6 petang Isnin.

Media sebelum ini melaporkan Nur Farah Kartini yang berasal dari Sarawak, hilang pada Rabu lalu, selepas dipercayai menghantar kereta sewa kepada pelanggan.

Laporan polis kemudiannya dibuat atas kehilangan mangsa pada pukul 1.56 pagi.

Mangsa dilaporkan dilihat kali terakhir memakai pakaian korporat berwarna biru, bertudung dan mengenakan seluar slack hitam.

Susulan itu, suspek yang juga anggota polis berusia 26 tahun direman selama tujuh hari sehingga 22 Julai bagi membantu siasatan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain