suria

Beg tangan dipercayai milik Nur Farah Kartini pula ditemui di lokasi kedua

Nur Farah Kartini meninggal dunia dipercayai dibunuh individu dikenalinya.

SELEPAS penemuan telefon pintar, polis mengesahkan menemui beg tangan dipercayai milik Allahyarham Nur Farah Kartini Abdullah.

Beg tangan tersebut ditemui di lokasi kedua iaitu di Kampung Batu 4, Trolak, Perak pada Rabu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan yang membuat pengesahan kepada media berkata, beg berkenaan dijumpai anggota Unit Siasatan Sub-Akuatik Forensik PDRM.

Dalam pada itu, jelas Hussein, operasi pencarian akan diteruskan melibatkan Unit Forensik serta Unit Siasatan Sub-Akuatik Forensik PDRM di lokasi kedua itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Telefon pintar dipercayai milik Nur Farah Kartini ditemui dalam parit

Untuk rekod, Unit Skuba dan Sub-Akuatik Forensik PDRM pada Rabu menemui sebuah telefon pintar dipercayai milik Nur Farah Kartini, di kawasan parit ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang, dekat Felda Gedangsa, Hulu Selangor.

Pasukan penyelam membuat penemuan itu selepas pencarian selama hampir sejam.

Nur Farah Kartini dilaporkan hilang sejak Rabu minggu lalu sebelum mayatnya ditemukan dalam ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang, dekat Felda Gedangsa, Hulu Selangor, pada Isnin.

Susulan itu, seorang lelaki yang merupakan anggota polis berpangkat Lans Koperal ditahan bagi membantu siasatan.

Suspek yang berusia 26 tahun itu direman selama tujuh hari sehingga 22 Julai ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain