suria

Sah mayat Nur Farah Kartini berdasarkan laporan DNA, jenazah diserah kepada keluarga

Jenazah Farah Kartini akan diserahkan kepada keluarga pada Khamis.

POLIS mengesahkan mayat wanita ditemukan mati di ladang kelapa sawit Kampung Sri Keledang, Hulu Selangor, pada Isnin adalah Nur Farah Kartini Abdullah.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan membuat pengesahan itu selepas proses padanan asid deoksiribonukleik (DNA) sebelum ini berpadanan dengan sampel Nur Farah Kartini.

Katanya lagi, jenazah bekas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berusia 25 tahun itu akan diserahkan kepada keluarga pada Khamis.

"Hasil DNA yang dipadankan adalah positif. Mayat yang ditemui di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor adalah Nur Farah Kartini.

"Saya sahkan bahawa jenazah akan diserahkan hari ini kepada keluarga," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: Abang sahkan jenazah Nur Farah Kartini dikebumikan di Pekan

ARTIKEL BERKAITAN: Kejadian aneh sejurus handphone dipercayai milik Farah Kartini ditemui... Wartawan tiba-tiba sejuk disapa angin - “Tanda terima kasih arwah”

Ketika dihubungi mStar pada Rabu, abang Nur Farah Kartini, Mohd Farriza Azmi, 28 memaklumkan jenazah adiknya akan dikebumukan di Pekan, Pahang selepas prosedur bedah siasat selesai.

Proses bedah siasat terhadap mangsa berusia 25 tahun itu dijalankan pada Selasa oleh pakar patalogi di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh bermula pukul 3 petang hingga 5.30 petang.

Misteri kehilangan Nur Farah Kartini yang dilaporkan hilang sejak Rabu minggu lalu terjawab apabila mayat ditemukan di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang dekat Felda Gedangsa, Hulu Selangor, pada Isnin.

Mangsa yang bekerja sebagai pegawai pemasaran itu disyaki dibunuh individu dikenalinya.

Media sebelum ini melaporkan mangsa hilang pada Rabu lalu, selepas dipercayai menghantar kereta sewa kepada pelanggan.

Susulan itu, suspek yang juga anggota polis berusia 26 tahun direman selama tujuh hari sehingga 22 Julai bagi membantu siasatan.

Kes disiasat terhadap suspek berpangkat Lans Koperal dan bertugas di Balai Polis Slim River itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain