suria

Sejauh mana hubungan Nur Farah Kartini dengan suspek disiasat... Polis cari motif bunuh

Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal ditahan bagi membantu siasatan kes kematian Nur Farah Kartini.

ALLAHYARHAM Nur Farah Kartini Abdullah, yang ditemukan mati pada Isnin lalu, dengan suspek kes pembunuhannya mengenali antara satu sama lain.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, ia adalah berdasarkan hasil siasatan namun pihaknya masih menyiasat sejauh mana hubungan mereka.

"Motif kejadian masih dalam siasatan," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian, pada Rabu.

Hussien menambah, pihaknya percaya kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang, dekat Felda Gegangsa, Hulu Selangor adalah lokasi utama (primary scene) berlakunya pembunuhan Nur Farah Kartini.

ARTIKEL BERKAITAN: Telefon pintar dipercayai milik Nur Farah Kartini ditemui dalam parit

Beliau dalam pada itu memaklumkan, seramai 26 individu sudah diambil keterangan setakat ini bagi membantu siasatan kematian mangsa yang juga bekas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Semua saksi tersebut termasuk rakan dan kawan sekerja mangsa serta saksi awam.

Dalam pada itu Hussein turut memaklumkan jenazah Nur Farah Kartini tidak boleh dituntut hari ini kerana pihaknya perlu menunggu keputusan sampel DNA (asid deoksiribonukleik) yang diambil daripada ahli keluarganya.

Difahamkan keputusan itu mungkin mengambil masa beberapa hari.

Untuk rekod, Nur Farah Kartini, 25, dilaporkan hilang sejak 10 Julai lalu sebelum mayatnya ditemukan dalam ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang pada Isnin, 15 Julai.

Susulan itu, seorang lelaki yang merupakan anggota polis berpangkat Lans Koperal ditahan bagi membantu siasatan.

Suspek yang berusia 26 tahun itu direman selama tujuh hari sehingga 22 Julai ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain