suria

Telefon pintar dipercayai milik Nur Farah Kartini ditemui dalam parit

Pasukan unit skuba dan sub akuatik forensik PDRM menemui telefon pintar dipercayai milik Nur Farah Kartini. Foto Bernama

PASUKAN polis berjaya menemui sebuah telefon pintar dipercayai milik bekas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah, yang ditemukan mati pada Isnin lalu.

Telefon pintar milik mangsa berusia 25 tahun itu ditemui di kawasan parit ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang, dekat Felda Gedangsa, Hulu Selangor, pada tengah hari Rabu.

Penemuan itu dibuat oleh anggota Unit Skuba dan Sub-Akuatik Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), pada kira-kira pukul 12.21 tengah hari.

Difahamkan, pasukan penyelam membuat penemuan itu selepas pencarian selama hampir sejam.

ARTIKEL BERKAITAN: Tawar diri untuk ‘dikafankan’ dan sempat minta maaf sebelum ditahan... Ini 10 perkara tentang Lans Koperal suspek bunuh Nur Farah Kartini

ARTIKEL BERKAITAN: Nur Farah Kartini pemurah... Tak dapat balik, sanggup 'transfer' duit rai rakan di kampung sambut birthday

Sementara itu, suspek berusia 26 tahun turut dibawa ke lokasi kejadian bagi proses pengecaman telefon pintar milik Nur Farah Kartini.

Setakat ini, proses mencari bahan bukti lain sedang dijalankan di lokasi berkenaan.

Terdahulu, misteri kehilangan Nur Farah Kartini yang dilaporkan hilang sejak 10 Julai lalu terjawab apabila mayatnya ditemukan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang, dekat Felda Gedangsa, Hulu Selangor, pada Isnin lalu.

Bekas pelajar UPSI itu disyaki dibunuh individu yang dikenalinya.

Nur Farah Kartini dilaporkan hilang selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan di Tanjung Malim, Perak.

Susulan itu, seorang suspek yang merupakan anggota polis berpangkat Lans Koperal berusia 26 tahun direman selama tujuh hari sehingga 22 Julai bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain