suria

6 abang kehilangan satu-satunya adik perempuan... Ini 10 fakta tentang pelajar pintar Nur Farah Kartini

Mayat Nur Farah Kartini ditemukan di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor.

RAKYAT Malaysia digemparkan dengan penemuan mayat seorang wanita di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang dekat Felda Gedangsa, Hulu Selangor, pada Isnin.

Siapa sangka mayat itu merupakan susuk tubuh wanita cantik manis, Nur Farah Kartini Abdullah, 25, wanita yang dilaporkan hilang pada Rabu lalu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan di Tanjung Malim, Perak.

Mayat bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu ditemukan di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang di Hulu Selangor, kira-kira pukul 6 petang Isnin dan dipercayai dibunuh individu yang dikenalinya.

Mangsa dilaporkan dilihat kali terakhir memakai pakaian korporat berwarna biru, bertudung dan mengenakan seluar slack hitam.

Lebih mengejutkan apabila suspek kes bunuh Nur Farah Kartini merupakan anggota polis berpangkat Lans Koperal berusia 26 tahun dan dia kini direman selama tujuh hari sehingga 22 Julai bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

ARTIKEL BERKAITAN: Tawar diri untuk ‘dikafankan’ dan sempat minta maaf sebelum ditahan... Ini 10 perkara tentang Lans Koperal suspek bunuh Nur Farah Kartini

ARTIKEL BERKAITAN: Nur Farah Kartini pemurah... Tak dapat balik, sanggup 'transfer' duit rai rakan di kampung sambut birthday

Berikut merupakan 10 fakta tentang mangsa, Nur Farah Kartini:

1. Anak bongsu

Nur Farah yang berasal dari Miri, Sarawak dan berketurunan Iban merupakan anak bongsu daripada tujuh beradik dan anak perempuan tunggal dalam keluarganya.

2. Pelajar pintar

Bekas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu menamatkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Multimedia) pada akhir 2023. Arwah merupakan pelajar pintar dengan mencatatkan keputusan peperiksaan cemerlang dengan Purata Gred Nilai (GPA) 4.0.

Keputusan peperiksaan Nur Farah Kartini di UPSI.

3. Rajin cari pendapatan lebih

Nur Farah Kartini bekerja di sebuah kedai percetakan di Tanjung Malim, Perak. Arwah turut membantu menguruskan bisnes kereta sewa milik suspek sebagai pendapatan sampingan.

4. Hantaran 'road to convo'

Menerusi hantaran Nur Farah Kartini mengenai 'road to convo' dia berkongsi tentang cabarannya sepanjang tempoh pengajian.

"Bermulanya bab baharu. Alhamdulillah, perjuangan empat tahun dah tamat. Banyak cabaran sepanjang tempoh pengajian ni tapi Alhamdulillah masih dikuatkan jiwa dan raga untuk bertahan.

"Terima kasih juga untuk sahabat yang selalu ada di saat susah dan senang. Struggle nak siapkan tugasan, fyp, laporan, lepas tu tidur berjemaah dekat student lounge semata-mata nak siapkan kerja.

"Jadi sekarang kita road to convo. Kepada bonda tersayang, anak bonda dah besar," tulis Nur Farah Kartini di Facebook.

Mohd Farriza (kanan) amat terkesan dengan pemergian adiknya.

5. Berperwatakan ceria dan penyayang

Abang Nur Farah Kartini, Mohd Farriza Azmi Abdullah, 28, menyifatkan adik perempuannya itu sebagai seorang ceria, penyayang dan baik dengan keluarga serta abang-abangnya. Menurut abangnya, Nur Farah Kartini suka membantu keluarga terutama dari segi kewangan. Bagaimanapun, adiknya itu tidak suka berkongsi atau bercerita mengenai masalahnya.

6. Sentiasa ingat kawan-kawan

Sahabat juga menganggap Nur Farah Kartini sebagai periang dan manja serta pemurah. Salah seorang sahabatnya, Donny Sidu berkata, walaupun jarang pulang ke kampung di Miri, arwah sentiasa berhubung dengan sahabat-sahabatnya yang dikenali selama hampir lapan tahun sejak di Tingkatan Enam. Menurut Donny, Nur Farah Kartini gemar mengambil gambar dan bersolek.

Nur Farah Kartini (dua, kiri) bersama sahabat-sahabatnya di Miri.

7. 'Sambut' hari jadi dari jauh

Malah kata sahabatnya lagi, walaupun berjauhan dan tidak berpeluang menyambut hari ulang tahun rakan-rakannya, dia tetap memberikan sedikit sumbangan bagi hari istimewa itu dirai. Kali terakhir ucapan hari jadi dihantar kepada salah seorang sahabatnya menerusi grup Facebook, pada 2 Julai lalu.

8. Hajat pulang ke kampung

Nur Farah Kartini sepatutnya pulang ke kampung akhir bulan ini. Menurut abangnya, Mohd Farriza, dia sudah pun membelikan tiket penerbangan ke Miri untuk adik perempuannya itu. Malah, rakan-rakannya di Miri merancang untuk menjemput kepulangannya di lapangan terbang.

Nur Farah Kartini mengimpikan profesion guru.

9. Hantar mesej kepada abang sebelum dilaporkan hilang

Mohd Farriza turut mendedahkan adiknya menghantar mesej bertanya khabar menerusi WhatsApp, beberapa hari sebelum kehilangannya. Menurut Mohd Farizza, adiknya seorang yang mengambil berat tentang keluarga.

10. Pasang impian jadi guru

Nur Farah Kartini turut memasang impian untuk bergelar guru. Menerusi panggilan video terakhir arwah bersama sahabat-sahabatnya pada 3 Julai lalu, Nur Farah Kartini meminta rakan-rakannya mendoakan dirinya yang mahu menghadiri sesi temuduga di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain