suria

Tawar diri untuk ‘dikafankan’ dan sempat minta maaf sebelum ditahan... Ini 10 perkara tentang Lans Koperal suspek bunuh Nur Farah Kartini

Seorang anggota polis (kanan) merupakan suspek kes bunuh Nur Farah Kartini.

MISTERI kehilangan Nur Farah Kartini Abdullah, 25, sejak Rabu minggu lalu terungkai, selepas mayatnya ditemukan pada Isnin, dipercayai dibunuh.

Nur Farah Kartini yang dilaporkan hilang sejak 10 Julai lalu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan di Tanjung Malim, Perak, ditemukan mati di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang di Hulu Selangor yang jaraknya kira-kira 30 kilometer.

Mayat wanita berusia 25 tahun itu ditemukan kira-kira pukul 6 petang Isnin dan dipercayai dibunuh individu yang dikenalinya.

Kematian bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu mendapat perhatian ramai terutama selepas polis mengesahkan suspek kes bunuh itu merupakan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

ARTIKEL BERKAITAN: 6 abang kehilangan satu-satunya adik perempuan... Ini 10 fakta tentang pelajar pintar Nur Farah Kartini

ARTIKEL BERKAITAN: “Jangan tambah kesedihan kami” - Abang dedah sikap, kebaikan Farah Kartini... Selalu bantu famili, tak suka kongsi masalah

Berikut merupakan 10 fakta kes suspek bunuh Nur Farah Kartini:

1. Lima tahun bersama PDRM

Suspek merupakan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpangkat Lans Koperal. Suspek sudah lima tahun berkhidmat dalam pasukan PDRM dan kini bertugas di Balai Polis Slim River, Perak dan berumur 26 tahun.

Suspek sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak.

2. Kekasih mangsa

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, anggota polis berpangkat Lans Koperal yang ditahan itu dipercayai teman lelaki mangsa.

3. Buka bisnes sewa kereta

Suspek turut mengusahakan perniagaan kereta sewa. Menurut bapa suspek yang merupakan seorang petani berusia 64 tahun, anaknya memberi peluang kepada mangsa untuk menguruskan bisnes tersebut sebagai pendapatan sampingan.

4. Sudah kahwin, ada anak lapan bulan

Suspek yang merupakan anak kelapan daripada 10 beradik itu sudah berkahwin, mempunyai seorang isteri dan seorang anak berusia lapan bulan. Suspek sempat pulang ke rumah mentuanya di Kampung Pulau Melaka pada Rabu minggu lalu untuk berjumpa dengan isteri serta anaknya itu.

Nur Farah Kartini merupakan pelajar UPSI yang cemerlang, dikatakan membantu menguruskan bisnes kereta sewa dimiliki suspek.

5. Anak yang bertanggungjawab

Menurut bapanya lagi, suspek yang merupakan anak kelapan daripada 10 beradik itu merupakan seorang anak yang baik dan bertanggungjawab. Dalam kalangan adik-beradiknya, dia dan seorang lagi kakaknya yang bekerja dalam kerajaan.

6. Mohon maaf, kelihatan kusut

Bapa suspek turut memberitahu wartawan, suspek telah menghubunginya untuk memohon maaf sebelum ditahan polis pada Isnin. Suspek juga sempat pulang ke rumah bapanya itu di Jasin, Melaka pada Khamis lalu. Menurut bapa suspek, anaknya kelihatan kusut dan tidak ceria seperti kebiasaan.

7. Dakwa diugut mangsa

Bapa suspek mendakwa berdasarkan apa yang diceritakan oleh menantunya, suspek dan isteri diugut oleh mangsa, dan telah membuat laporan mengenainya dengan membawa beberapa bukti berkaitan.

Suspek (baju oren) direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan atas tuduhan bunuh.

8. Mayat wanita di ladang kelapa sawit

Suspek didakwa membunuh mangsa di lokasi kejadian di kawasan ladang kelapa sawit Kampung Sri Keledang, Hulu Bernam di Hulu Selangor dan dibawa ke lokasi kejadian pada petang Selasa bagi membantu siasatan.

9. Direman atas tuduhan bunuh

Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu, Nurul Mardhiah Mohammed Redza pada Selasa mengeluarkan perintah tahanan reman terhadap suspek selama tujuh hari sehingga 22 Julai 2024 bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

10. Tawar diri 'dikafankan'

Menurut bapa mangsa, suspek pernah mengikuti kursus pengurusan jenazah pada awal bulan ini. Ketika itu, suspek menawarkan diri untuk dikafankan, malah meminta untuk dikebumikan di sebelah kubur arwah ibunya sekiranya dia meninggal dunia. Bapa suspek juga reda dengan hukuman ke atas anaknya jika didapati bersalah.

SUMBER: Kosmo, Sinar Harian

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain