SEORANG bekas anggota polis terlepas tali gantung selepas Mahkamah Persekutuan di Johor Bahru pada Rabu, mengetepikan hukuman gantung terhadapnya kerana membunuh teman wanita yang sedang hamil, sembilan tahun lalu. Panel hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hanipah Farikullah, memutuskan hukuman mati terhadap Muhammad Faizal Salim, 47, ditukar kepada penjara 40 tahun beserta 12 sebatan. ARTIKEL BERKAITAN: Sah! Lans Koperal suspek kes bunuh Nur Farah Kartini, bertugas di Perak Hukuman terhadap bekas anggota polis berpangkat Koperal itu bermula daripada tarikh tangkapan. Berdasarkan pertuduhan, Muhammad Faizal didakwa membunuh Norzielawati Akmar Afandi, 35, di taman rekreasi Hutan Bandar Bukit Cantik di Mersing, Johor antara pukul 11 malam 12 April 2015 dan 12.30 pagi 12 April 2015. Hasil laporan bedah siasat, punca kematian Norzielawati adalah disebabkan hentakan kuat dengan benda tumpul pada kepala. Selain itu, terdapat 47 kecederaan lain di badan seperti kesan lebam dan luka. Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Tetralina Ahmed Fauzi membantah semakan permohonan oleh pemohon dengan alasan kematian mangsa adalah tragis dan tertuduh membunuh dua nyawa termasuk kandungan mangsa. Panel tiga hakim kemudian bersetuju menggantikan hukuman mati kepada penjara 40 tahun beserta 12 sebatan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube