DARI Kota Kinabalu ke Sandakan, penduduk Sabah di negeri ini berpeluang menyaksikan pratonton acara pertanian, hortikultur dan agro pelancongan terbesar di Asia Tenggara menerusi jelajah Road to MAHA@Sabah. Bertujuan untuk mempromosikan penganjuran ke-100 Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, acara ini bakal menarik tiga juta pengunjung ke Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, Selangor dari 11 hingga 22 September ini. "Tahun ini menandakan satu abad sejak permulaan acara penting ini, yang berkembang menjadi salah satu pameran pertanian terbesar dan paling berpengaruh di rantau Asia Tenggara," katanya. Selain memfokuskan peserta tempatan, selaras dengan temanya, MAHA 2024 Go Global, penyertaan yang lebih besar dijangkakan dari negara-negara asing yang berkongsi kepakaran dan teknologi dalam bidang ini. Mohamad berkata, Sabah dimasukkan dalam jadual lawatan mereka, bagi mengiktiraf peranan penting negeri dalam bidang pertanian dan agro pelancongan. Jelajah sejauh 70 kilometer (km) timur laut dari ibu negeri Sabah, Kota Kinabalu, Mohamad melihat potensi menjanjikan Kota Belud untuk penanaman padi. Beliau mendapati terdapat peralihan di daerah itu dari amalan pertanian tradisional ke pertanian pintar, dan mencerminkan kemajuan yang boleh dilihat di Semenanjung Malaysia. "Dengan menambah baik teknik dalam penanaman padi dan meningkatkan kualiti benih, matlamat kami adalah untuk mencapai hasil sekurang-kurangnya 10 tan sehektar dalam masa terdekat, satu penanda aras yang sudah dicapai di bahagian Semenanjung Malaysia," katanya. Mohamad menambah, walaupun Program SMART SBB Ala Sekinchan di Kota Belud berjaya meningkatkan hasil dari dua tan kepada empat tan, sasaran adalah mencapai 10 tan, membolehkan Sabah menghasilkan 60 peratus keperluan padinya. Namun, beliau optimis mendapatkan dana tambahan untuk menambahbaik sistem pengairan bagi kawasan jelapang padi Sabah di Kota Belud. "Pada masa ini, padi di sini ditanam dua kali setahun menggunakan benih padi tempatan, berbanding tiga hingga empat kali di luar negara. Pemantauan berterusan oleh pegawai berdedikasi akan memastikan kejayaan inisiatif ini, sekali gus meningkatkan pengeluaran padi,” katanya. Mohamad ketika berucap pada Majlis Peluncuran MAHA 2024 di MAEPS pada 10 Jun lalu. Jelajah diteruskan ke Desa Dairy Farm di kaki Gunung Kinabalu, dengan pemandangan padang ragutnya yang subur. Dikenali kerana pengeluaran susunya, ladang ini menempatkan lembu baka Holstein-Friesian yang terkenal dengan hasil susu mereka yang luar biasa. Desa Dairy Farm juga berperanan sebagai destinasi pelancongan dan pusat pendidikan yang popular, dengan menarik kira-kira 70,000 pengunjung sebulan. Tarikan di sini adalah peluang untuk merasai dan membeli produk tenusu segar seperti susu pasteur, yogurt dan keju, yang mana semuanya terkenal dengan kualiti dan kesegarannya. Di Kundasang pula, peruntukan sebanyak RM2 juta telah diluluskan oleh Mohamad untuk pengembangan plot 100 hektar di Sook, Keningau, yang didedikasikan untuk penanaman jagung hijau bagi makanan haiwan. "Kerjasama yang melibatkan Desa Cattle, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Nabawan bertujuan untuk meningkatkan penanaman jagung hijau menjelang 2024." Terdahulu tahun ini, keutamaan diberikan untuk pelbagai sektor pertanian, dengan tumpuan pada pembiayaan dan sokongan teknikal. "Jagung memainkan peranan penting kerana ia adalah makanan haiwan yang penting," kata Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Lokman Hakim Ali. Beliau memberi penekanan pada model perniagaan yang menjanjikan untuk memastikan keterjaminan makanan negara. Seterusnya, Mohamad melawat Telupid, kira-kira 90km dari Kundasang, di mana beliau meninjau pasar tamu yang diwujudkan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), setahun lalu. "Pasar tamu ini adalah salah satu daripada enam yang ditambah baik oleh Fama, termasuk lima lagi di Sook, Keningau; Tomborungus di Kudat; Kunak; Beluran; dan Tuaran. "Penambahbaikan ini bertujuan untuk membolehkan peladang luar bandar menjual produk mereka terus kepada pengguna. Usaha kerjasama oleh Fama serta kerajaan negeri dan persekutuan seperti ini adalah penting untuk pembangunan berterusan di Sabah, terutama dalam infrastruktur," katanya. Seorang peladang dari Kampung Ulu Barason-Wonod, Laimah Limbas mengucapkan terima kasih kepada Fama atas pembinaan pasar tamu berbumbung, dengan memberitahu, "Saya kini mempunyai tempat khusus untuk menjual produk buah-buahan tempatan." Sementara itu, Supiah Piloh turut bersetuju dengan berkata, "Kami bukan hanya mempunyai tempat berlindung, tetapi ia juga dilengkapi dengan kipas." Program jelajah selama empat hari berakhir dengan acara di Sandakan. Di sini, tumpuan adalah untuk memperbaiki kehidupan nelayan melalui kerjasama antara pihak berkuasa negeri dan persekutuan. Menerusi kerjasama itu, sebanyak RM21.1 juta diagihkan sebagai elaun sara hidup kepada 7,502 nelayan di seluruh negeri. Mohamad menekankan bahawa RM450,000 diperuntukkan kepada 30 nelayan di Sabah bagi meningkatkan kapasiti nelayan B40, dan meningkatkan taraf hidup serta kemahiran mereka. Pelbagai bentuk bantuan juga disediakan kepada kumpulan nelayan di Sabah. Beliau juga menekankan peruntukan RM1 juta untuk projek khas perumahan nelayan yang melibatkan 60 rumah nelayan di Sabah dengan meningkatkan taraf hidup mereka. Mohamad menegaskan bahawa kerajaan meneruskan skim subsidi diesel dan petrol untuk nelayan, dengan kuota bulanan bersubsidi sebanyak 70 juta liter. "Inisiatif ini memperlihatkan komitmen kerajaan untuk meringankan beban nelayan di samping berusaha meningkatkan kedudukan ekonomi mereka," katanya. Selain itu, Asmadi Jaffar dari bandar Sandakan menzahirkan ucapan terima kasih di atas elaun sara hidup sebanyak RM300, yang membantu mengurangkan beban kewangannya. "Bantuan ini merupakan satu kelegaan, terutamanya memberi sokongan buat isteri dan seorang anak berusia empat tahun," katanya. Satu lagi program jelajah MAHA 2024 di Johor dirancang dan akan diperluas pada skala yang lebih besar di Lembah Klang, Selangor. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube