suria

Lelaki ditikam 11 kali oleh rakan serumah, suspek patah pinggang ketika cuba larikan diri

Tangkap layar daripada video tular mengenai insiden seorang lelaki ditikam di kawasan perumahan Desa Mentari pada Rabu.

SEORANG lelaki cedera parah selepas ditikam 11 kali oleh rakan serumahnya dalam satu kejadian di kawasan perumahan Desa Mentari, Petaling Jaya, pada Rabu.

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja'afar, dalam insiden kira-kira pukul 5.45 pagi itu, kedua-duanya berada dalam keadaan mabuk dan bergaduh.

Ujar Shahrulnizam, suspek turut cedera akibat terjun dari tingkat lima bangunan perumahan itu ketika cuba melarikan diri selepas menikam rakan serumahnya.

Tambahnya, selepas menerima maklumat berhubung kejadian, pihaknya ke lokasi dan mendapati terdapat seorang lelaki dalam keadaan terbaring berlumuran darah di ruang tamu, dipercayai ditikam rakan serumah.

ARTIKEL BERKAITAN: Sakit hati air oren diminum sebelum waktu berbuka puasa, lelaki tikam rakan sampai mati

"Pasukan perubatan dari Hospital Sungai Buloh telah hadir di lokasi kejadian untuk memberi bantuan dan pemeriksaan mendapati terdapat 11 tikaman pada badan mangsa.

"Suspek dipercayai cuba untuk melarikan diri dengan melompat melalui tingkap dapur dari rumah itu ditemui terbaring di tingkat bawah perumahan tersebut.

"Lelaki berkenaan mengalami patah di pinggang dan cedera di bahagian rusuk kanan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Kedua-dua individu berkenaan dibawa ke hospital untuk menerima rawatan lanjut, ujarnya.

Polis turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain