suria

Pemandu treler rempuh rumah sebabkan 2 kematian mengaku tidak bersalah

Pemandu treler mengaku tidak bersalah rempuh rumah penyebab dua adik beradik maut.

PEMANDU treler yang merempuh sebuah rumah sehingga mengakibatkan dua beradik maut dihadapkan ke Mahkamah Majistret Rompin, Pahang pada Rabu atas dua pertuduhan mengambil dadah dan memandu kenderaan di bawah pengaruh dadah.

Bagaimanapun tertuduh, Muhammad Fadzil Zakaria, 40, dari Taman Bukit Indah, Johor, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Melody Woon Sze Mun.

Mengikut kertas pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memberikan kepada diri sendiri dadah berbahaya jenis methamphetamine di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Pekan pada pukul 4.10 petang 3 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih daripada RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih daripada dua tahun dan hendaklah menjalani perintah pengawasan selama tempoh tidak kurang dua tahun dan tidak lebih tiga tahun.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa sebagai pemandu lori pada pukul 4.15 pagi 3 Ogos lalu telah memandu kenderaan tersebut di bawah pengaruh dadah jenis methamphetamine yang menyebabkan tertuduh tidak berdaya mengawal kenderaan dengan sepatutnya sehingga menyebabkan kematian Nurnazzatul Fashihah Nasruddin, 32, dan Muhammad Waldan Faris Nasruddin, 21.

ARTIKEL BERKAITAN: Rupanya pemandu treler ‘lalok’ dadah! Dua beradik maut selepas rumah dirempuh

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 44 (1) (a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 15 tahun dan denda tidak kurang RM50,000 dan tidak lebih RM100,000.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Asyikin Hashim manakala tertuduh diwakili Peguam, Ahmad Deniel Roslan.

Dalam prosiding Noor Asyikin meminta mahkamah mengenakan wang jaminan bagi pertuduhan pertama sebanyak RM3,000.

Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh dikenakan wang jaminan sebanyak RM12,000 dan lesen memandu tertuduh digantung kerana ia melibatkan kesalahan serius.

Bagaimanapun Ahmad Deniel memohon mahkamah mengurangkan jumlah wang jaminan memandangkan tertuduh yang merupakan pemandu lori dengan pendapatan RM2,300 sebulan menanggung seorang isteri dan anak yang masih kecil.

Melody Woon kemudiannya membenarkan wang jaminan sebanyak RM1,300 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan pertama.

Bagi pertuduhan kedua pula, wang jaminan ditetapkan sebanyak RM5,700 dengan seorang penjamin dan lesen tertuduh digantung sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 7 Oktober depan bagi sebutan semula pertuduhan pertama dan pada 26 Ogos depan bagi sebutan semula pertuduhan pertama termasuk penyerahan dokumen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain