suria

Tragis! Pasangan warga emas rentung terbakar, ditemukan berdekatan bilik mandi kediaman

Kebakaran di Kampung Pangkalan Lutong yang meragut dua nyawa. -Foto ihsan JBPM

PASANGAN warga emas ditemukan mati rentung selepas kediaman mereka hangus dijilat api dalam kejadian di Kampung Pangkalan Lutong dekat Miri, Sarawak pada pagi Selasa.

Kedua-dua mayat mangsa iaitu Abdullah Nassa, 77, dan isterinya, Jaimah Badar, 64, ditemukan berdekatan bilik mandi rumah dua tingkat jenis separa kekal pada pukul 12.15 tengah hari.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.55 pagi.

"14 anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong dengan bantuan BBP Lopeng dikerah untuk memadam kebakaran. Setibanya di lokasi kejadian, didapati rumah tersebut sudah terbakar 100 peratus.

"Pasukan bomba kemudiannya bertindak memadam kebakaran dengan menggunakan sumber air diperoleh dari sungai berdekatan.

"Anggota bomba mengambil masa kira-kira setengah jam bagi mengawal kebakaran sebelum api dapat dipadamkan sepenuhnya dua jam kemudian," ujarnya menerusi satu kenyataan.

Mayat pasangan terbabit diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

Manakala punca kebakaran dan anggaran kerugian yang dialami masih dalam siasatan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain