suria

Raikan 50 tahun persahabatan Malaysia-China, pameran fotografi di Mid Valley Megamall imbas detik bersejarah menerusi 400 karya

Ouyang Yujing (tiga, kiri) bersama Manoharan Periasamy (empat, kiri) dan Chan Seng Fatt ketika melancarkan Pameran Foto Ulang Tahun Malaysia-China ke-50 di Mid Valley Megamall, pada Isnin.

TIDAK sekadar politik dan ekonomi, hubungan diplomatik antara Malaysia dan China yang terjalin erat sejak 50 tahun lalu sudah melangkaui sektor pelancongan, budaya dan pendidikan.

Justeru bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-50 penubuhan hubungan diplomatik Malaysia-China, satu pameran foto dianjurkan bagi meraikan kekayaan budaya dan hubungan penuh bersejarah antara kedua-dua negara.

Pameran Foto Ulang Tahun Malaysia-China ke-50 yang dilancarkan di Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur pada Isnin, merakam dan mengimbas kembali peristiwa penting dalam hubungan diplomatik antara dua negara ini.

Memaparkan kira-kira 400 karya fotografi, pameran ini menyerlahkan persahabatan dan kerjasama erat yang terjalin sejak lima dekad yang lalu.

Malaysia - China 50th Anniversary photo exhibition.

Pengunjung melihat antara karya yang dipamerkan.

Antara karya ikonik yang pastinya menarik tumpuan pengunjung adalah detik bersejarah antara Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tun Abdul Razak dan Pengerusi Mao Zedong pada Mei 1974; gambar Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden China Xi Jinping, dan dua ekor panda simbol hubungan Malaysia-China, Xing Xing dan Liang Liang.

Karya-karya ini disusun mengikut kategori dan tema tertentu seperti era pra-penubuhan, pertukaran budaya, kerjasama dua hala dan kemanusiaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Minggu Budaya Malaysia 2024 meriah di China! MOTAC martabat seni, budaya dan warisan

Duta Besar China, Ouyang Yujing, yang merupakan antara tetamu kehormat di majlis pelancaran pameran ini berkata, China dan Malaysia menganjurkan beberapa siri acara sambutan sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik kedua-dua negara.

"Sebagai salah satu acara sambutan, pameran fotografi ini akan membawa kita mengimbas kembali sejarah yang mempamerkan hubungan mesra dua hala China-Malaysia, kematangan, kestabilan dan keutuhan yang semakin meningkat," katanya ketika berucap dalam acara berkenaan.

Malaysia - China 50th Anniversary photo exhibition.

Karya berwarna dan hitam putih yang dipamerkan mengimbas kembali sejarah hubungan mesra dua hala China-Malaysia.

Beliau dalam pada itu turut menekankan betapa pentingnya peranan media dan dalam masa sama menzahirkan penghargaan buat dua agensi media berpengaruh, The Star dan Sin Chew Daily yang banyak terlibat merakam perjalanan signifikan antara Malaysia dan China sejak lima dekad lalu.

Sementara itu, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Manoharan Periasamy pula berkata, China kekal sebagai antara negara teratas yang menyumbang dalam sektor pelancongan di Malaysia.

"Pada tahun 2023, Malaysia menerima sejumlah 1,474,114 pelancong dari China dengan hasil pelancongan sebanyak RM8,827.75 bilion.

"Pertukaran ini memperkayakan masyarakat kita dan membolehkan pelancong dari kedua-dua negara mendalami khazanah budaya unik setiap negara," ujarnya.

50th Malaysia china Coffee Table Book & Photo Exhibition at Mid valley.—ONG SOON HIN/The StarReporter: Alison

Pelancaran Buku Mewah berjudul Mekar dan Berbuah - Ulang Tahun ke-50 Hubungan Diplomatik antara Malaysia dan China.

Turut hadir dalam majlis pelancaran berkenaan adalah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Star Media Group, Chan Seng Fatt; Ketua Pegawai Kandungan, Datin Paduka Esther Ng dan Ketua Pegawai Eksekutif Sin Chew Daily, Koo Cheng.

Dalam masa sama, Star Media Group dan Sin Chew Daily turut menghasilkan buku mewah berjudul Mekar dan Berbuah - Ulang Tahun ke-50 Hubungan Diplomatik antara Malaysia dan China, yang akan diberikan kepada rakan kongsi mereka.

Penghasilan buku tersebut bersama UTAR sebagai rakan kongsi pendidikan; AirAsia sebagai rakan kongsi rasmi; dan IJM Corporation Bhd, Midea Scott & English Electronics Sdn Bhd, QL Resources Bhd sebagai penaja, menampilkan kira-kira 200 foto merentasi 270 muka surat, menyerlahkan persahabatan serta sinergi antara Malaysia dan China.

Pameran fotografi ini berlangsung dari 5 hingga 18 Ogos, bermula 10 pagi hingga 10 malam setiap hari, di tingkat bawah ruang legar Mid Valley Megamall dan percuma buat semua pengunjung.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain