suria

Terap budaya menabung sejak lahir... Program Anak Emas kolaborasi Kerajaan Negeri Pulau Pinang, PTPTN pilihan terbaik

Dari kanan, Norliza, Siew Khim, Ahmad Dasuki dan Yeeh Keen pada majlis pelancaran Program Anak Emas.

BAGI memastikan simpanan untuk pendidikan tinggi anak-anak terjamin, Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan kerjasama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melancarkan Program Anak Emas menerusi akaun Simpan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) Prime.

Program itu diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada Jun 2011, yang mana bayi berumur dua tahun ke bawah layak menerima bayaran bantuan secara one-off berjumlah RM200.

Berkuatkuasa 15 Januari 2024, kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan PTPTN ini menyaksikan pemberian RM100 untuk pembukaan akaun atau penambahan deposit Simpan SSPN Prime, manakala RM100 lagi disalurkan ke akaun bank pemohon yang layak.

Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, diharapkan Simpan SSPN akan menjadi pilihan terbaik dan konsisten menyimpan bagi golongan ibu bapa untuk masa depan pendidikan yang terjamin.

Justeru, beliau menyeru kepada semua agensi awam dan swasta untuk menjadikan Simpan SSPN sebagai insentif atau hadiah bagi penganjuran aktiviti atau program bersesuaian.

"Semoga inisiatif murni Program Anak Emas ini disambut baik oleh seluruh masyarakat Pulau Pinang demi pembangunan anak bangsa selari moto PTPTN, 'Peluang Kejayaan Anda'," katanya.

Simpan SSPN merupakan produk simpanan PTPTN yang menawarkan pelbagai manfaat dan kelebihan seperti pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun.

Selain itu, terdapat faedah lain seperti perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan secara percuma sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, kadar dividen kompetitif serta simpanan dijamin kerajaan dan patuh syariah.

Majlis pelancaran Program Anak Emas disempurnakan Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam Pulau Pinang, Lim Siew Khim di Mydin Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada Sabtu lalu.

Turut serta Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim, Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bagan Jemal, Chee Yeeh Keen.

Siew Khim berkata, pelaksanaan Program Anak Emas melalui Simpan SSPN Prime mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.

Menurut beliau, dalam tempoh 15 Januari hingga 30 Jun lalu, sebanyak 2,162 akaun dibuka atau dibuat penambahan simpanan dengan jumlah RM216,200.

"Saya berharap masyarakat Pulau Pinang merebut peluang untuk memohon bantuan ini. Program ini merupakan bukti keprihatinan Kerajaan Negeri dalam meningkatkan kesedaran masyarakat tentang literasi kewangan.

"Program ini juga sebagai tanda penghargaan Kerajaan Negeri kepada penerima Program Anak Emas. Penabungan dari awal usia adalah sangat penting agar anak-anak tidak bergantung kepada pinjaman untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi," jelasnya.

GAMBAR 2

Siew Kim (empat, kanan) dan Norliza (lima, kiri) bersama penerima sumbangan Program Anak Emas.

Sementara itu, sambutan yang memberangsangkan dalam kalangan masyarakat terbukti apabila Keshni Devi, 29, segera membuka akaun itu di bawah buat anak lelakinya berusia setahun, sebaik mengetahui mengenai Program Anak Emas yang diperkenalkan itu.

"Ini akan memberi manfaat kepada anak saya dalam jangka panjang kerana saya tidak perlu risau tentang perbelanjaan pendidikan pada masa akan datang.

"Insentif itu lebih baik berbanding yang lain dan akan membantu mengurangkan beban kami apabila tiba masanya anak saya melanjutkan pengajian.

"Saya kini simpan RM100 sebulan untuk anak. Apabila dia berusia 19 tahun, akan ada banyak simpanan untuk dia," katanya.

Keshni yang bekerja sebagai perunding servis dengan bersemangat telah berkongsi faedah mengenai akaun simpanan itu, dengan rakan sekerja dan kenalannya.

"Saya tahu ramai yang mempunyai anak kecil. Ini bagus untuk mereka," katanya.

Bagi ahli perniagaan, Siti Hajar Azudin, 28, dia amat bersyukur kerana Kerajaan Negeri Pulau Pinang menjalinkan kerjasama tersebut dengan PTPTN.

"Saya mahukan yang terbaik untuk anak saya, dan kami sedar ia harus bermula sejak dia masih kecil. Banyak manfaat yang diperoleh termasuk dividen dan perlindungan takaful.

"Kami kini menyimpan setiap bulan untuk anak dan sedar masa depannya akan lebih terjamin," katanya sambil menambah program itu akan memberi manfaat kepada ibu bapa kerana dapat meringankan beban mereka serta menggalakkan amalan menyimpan.

Sempena majlis pelancaran Program Anak Emas, pelbagai aktiviti dan hadiah menarik disediakan antaranya, Pertandingan Mewarna Simpan SSPN, Pertandingan Bayi Merangkak Simpan SSPN, Pertandingan Action Song Simpan SSPN, pertandingan pakaian beragam, penampilan badut dan persembahan boria serta persembahan kanak-kanak tadika.

Program itu dimeriahkan lagi dengan kerjasama agensi awam dan swasta yang membuka kaunter perkhidmatan dan pameran antaranya, kaunter promosi Simpan SSPN, kaunter saringan kesihatan percuma, kaunter semakan akaun dan khidmat nasihat KWSP, mini petting zoo, pameran robotik dan AI, pameran pergigian serta pameran interaktif.

Untuk maklumat lanjut mengenai Program Anak Emas, layari iSejahtera.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain