suria

Hasrat gandakan wang simpanan terkubur, modal RM117,000 lesap diperdaya sindiket skim ASNB palsu

Mangsa terpedaya selepas dihubungi individu melalui Telegram. -Gambar hiasan

GARA-GARA terpengaruh skim pelaburan yang tidak wujud, seorang bekas pekerja kilang di Taiping, Perak kerugian lebih RM117,000.

Ketua Polis Daerah Taiping Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail berkata mangsa yang berusia 57 tahun membuat laporan polis pada Ahad kira-kira pukul 12.01 tengah hari dan mengaku dia ditipu selepas memasukkan sejumlah dana ke dalam skim yang digelar “Pelaburan ASNB Investment Malaysia”.

“Mangsa pada 16 Julai sedang bersembang di saluran Telegram sebelum melihat iklan skim itu.

“Selepas menjawab panggilan nombor tersebut, seorang individu menjelaskan mengenai pelaburan yang menawarkan keuntungan sehingga RM75,000 dengan hanya modal RM1,500.

“Mangsa dijanjikan keuntungan dalam tempoh tiga dan enam jam, dengan modal dan keuntungan akan dimasukkan ke dalam akaunnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mohamad Nasir menambah, selepas mangsa mendengar penjelasan itu, dia mula berminat untuk melabur dan melayari pautan yang diberikan.

Beliau berkata antara 16 Julai dan 22 Julai, mangsa memindahkan wang sebanyak sembilan kali ke dalam sembilan akaun bank berbeza berjumlah RM117,375.

“Selepas membuat pembayaran, mangsa tidak mendapat modal dan keuntungan yang dijanjikan.

“Dia juga tidak dapat mengeluarkan jumlah modal daripada platform itu, kerana telah disekat oleh individu terbabit.

“Mangsa kemudian mengesyaki dia telah ditipu sehingga menyebabkan dia membuat laporan polis,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 kanun keseksaan.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan tawaran sedemikian di media sosial yang menjanjikan pulangan besar.

“Orang ramai boleh menghubungi talian hotline Pusat Tindak Balas Penipuan Nasional di 997 sebelum melakukan sebarang transaksi,” tambahnya. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain