suria

Rupanya pemandu treler ‘lalok’ dadah! Dua beradik maut selepas rumah dirempuh

Dua ahli keluarga maut selepas rumah mereka dirempuh sebuah treler.

PEMANDU treler yang merempuh sebuah rumah hingga menyebabkan dua beradik maut di Kilometer 5 Jalan Pekan-Rompin dekat Kampung Ketapang Hilir, Pekan, Pahang pada Sabtu disahkan positif dadah.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin.

"Berdasarkan ujian saringan awal yang dijalankan, pihak Hospital Pekan mendapati pemandu lori positif dadah jenis methamphetamine," katanya.

Menurut Zaidi, kejadian kira-kira pukul 4.15 pagi itu berlaku ketika sebuah lori yang membawa muatan siling kapur dalam perjalanan dari arah Johor Bahru menghala ke Kuantan.

Kejadian tragis pada Sabtu meragut nyawa dua ahli keluarga di Pekan, Pahang.

“Apabila sampai di tempat kejadian, lori yang dipandu lelaki berumur 40 tahun itu semasa melalui selekoh ke kiri telah hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan sebelum merempuh sebuah rumah yang berada di sebelah kanan jalan,” katanya pada Sabtu.

Mereka yang meninggal dunia ialah Nurnazatul Fasiha Nasruddin, 33, maut di tempat kejadian manakala adiknya, Mohd Waldon Faris Nasruddin, 25 meninggal dunia pada pukul 1.30 tengah hari.

Tiga lagi mangsa iaitu ibu bapa arwah, masing-masing berusia 64 dan 54 tahun serta seorang rakan, Mohd Waldon Faris berusia 19 tahun mengalami kecederaan ringan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan sedang giat dilakukan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain