suria

Budak 2 tahun maut jatuh dari tingkat 16... Tingkap bilik terbuka, tak dipasang jeriji

Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun maut terjatuh dari tingkat 16. -Gambar hiasan

SEORANG kanak-kanak perempuan berusia dua tahun maut terjatuh dari tingkat 16 sebuah apartment di Taman Daya, Johor Bahru.

Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, satu laporan polis dibuat pada kira-kira pukul 9.16 malam Selasa lalu.

"Siasatan awal mendapati, kejadian tersebut berlaku pada hari sama pukul 8.50 malam. Suspek, merupakan pasangan suami isteri berusia antara 56 dan 78 tahun, dan mempunyai kaitan kekeluargaan yang rapat dengan mangsa.

"Sebelum kejadian itu, mangsa bersama ahli keluarganya baru selesai beriadah di kolam renang apartment tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Raub berkata, kedua-dua suspek kemudian membawa balik mangsa ke rumah di tingkat 16 sementara menunggu ibu kanak-kanak itu bersama ahli keluarga lain pergi ke pusat dobi di aras tujuh apartment tersebut.

"Semasa di dalam rumah, kedua-dua suspek telah meninggalkan mangsa bersendirian di ruang tamu untuk menunaikan solat.

"Selepas selesai menunaikan solat, suspek mendapati mangsa telah tiada di dalam rumah dan hasil pencarian mendapati mangsa telah terjatuh di aras lapan," katanya.

Tambah Raub, siasatan mendapati mangsa telah terjatuh melalui salah satu tingkap bilik tidur yang terbuka serta tidak dipasang jeriji.

Jelasnya lagi, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Ismail untuk bedah siasat.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001 memandangkan terdapat unsur-unsur pengabaian ke atas mangsa," katanya sambil menambah jika disabit kesalahan, boleh didenda RM50,000 atau dipenjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.

Menurut Raub, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi talian hotline Polis Johor Bahru Selatan di 07-218 2323.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain