suria

KPT, KPM kolaborasi perkasa STEM... Sasar lahir lebih ramai graduan penuhi keperluan industri, nikmati gaji premium

Mustapha (kanan) mengupas mengenai peranan IPT dalam memartabatkan STEM di peringkat pendidikan tinggi ketika sesi ‘Borak STEM’.

IBARAT kata pepatah, melentur buluh biarlah daripada rebungnya.

Menyedari penurunan statistik bilangan pelajar peringkat menengah yang mengambil aliran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pelbagai inisiatif perlu dilakukan demi perubahan positif kepada landskap pendidikan negara.

Sejajar dengan hasrat itu, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mempelbagaikan strategi untuk menerapkan dan memperkasakan STEM di peringkat awal bagi melahirkan graduan yang memenuhi tuntutan industri serta berdaya saing di peringkat global.

Timbalan Menteri KPT, Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata, ia merupakan salah satu cabaran yang sedang ditangani dalam usaha memartabatkan bidang STEM dan seterusnya merealisasikan aspirasi negara menjelang 2030.

Menurut beliau, usaha memperkasakan STEM itu termasuk menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Kita sudah berbincang dengan KPM untuk memastikan ramai pelajar akan masuk ke aliran sains tulen (STEM) di institusi pengajian tinggi (IPT) kerana di peringkat KPM ada pelbagai modul.

"KPM juga sedang berusaha memastikan pelajar akan dapat memenuhi syarat-syarat kemasukan aliran STEM ke IPT seperti mana yang telah ditetapkan Unit Pusat Universiti (UPU) dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Borak STEM, di Kuala Lumpur pada Khamis lalu.

kpt 3

Salah satu dalam bidang pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET).

Mengenai inisiatif KPT dalam memperkasa STEM di negara ini, Mustapha berkata KPT turut melaksanakan kolaborasi dengan pelbagai kementerian, agensi dan industri.

Mengulas lanjut, ujarnya, KPT berkolaborasi bersama KPM dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi menubuhkan Jawatankuasa Khas STEM, yang memberi fokus khusus kepada hala tuju STEM bermula dari peringkat sekolah sehingga ke pendidikan tinggi.

"Kolaborasi ini penting untuk kita mewujudkan ekosistem STEM dan memastikan bahawa kita dapat mendokong Kerangka Ekonomi Madani, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR).

"KPT juga berkolaborasi dengan pelbagai pihak industri iaitu Badan Koordinasi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Kerajaan-Industri (GITC). Ia melibatkan 60 badan profesional industri dan 10,000 syarikat yang terlibat.

"Dari segi kurikulum, kita buat transisi daripada teori kepada pembelajaran berasaskan kerja untuk memastikan pembelajaran yang melibatkan teknologi akan menjadi 70 peratus praktikal dan 30 peratus teori menerusi program 2U2I iaitu dua tahun di universiti dan dua tahun di industri," jelasnya.

kpt 2

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Timbalannya, Datuk Ts. Mustapha Sakmud mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Majlis Peluncuran Malaysia Artificial Intelligence Nexus 2024 (MY AI NEXUS).

Tegas Mustapha, penumpuan terhadap STEM adalah kritikal demi memastikan Malaysia dapat melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir dalam bidang berteknologi tinggi bagi memenuhi keperluan industri.

Beliau turut menyentuh mengenai pelaburan syarikat antarabangsa di negara ini, antaranya Amazon Web Services (AWS) berjumlah RM25.5 bilion, Infineon Technologies AG (Infineon) (RM25 bilion), Microsoft (RM10.5 bilion) dan terkini, Intel sebanyak RM10 bilion.

"Kita perlu melahirkan ramai pakar tempatan untuk menyokong keperluan industri ini. Kita mahu melahirkan graduan yang hands-on, bukannya graduan yang tukar mentol lampu pun tak pandai.

"KPT akan menyokong supaya matlamat ini dapat direalisasikan dan juga dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada generasi muda dengan gaji yang premium," katanya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain