suria

“Meta, usah jadi bacul!” - Anwar kesal hantaran mengenai Ismail Haniyeh diturunkan

Anwar kesal tindakan Meta menurunkan hantaran beliau mengenai pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh pada Rabu.

DATUK Seri Anwar Ibrahim mengecam tindakan Meta Platforms Inc (Meta) yang menurunkan hantaran video serta ucapan takziah beliau terhadap pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh.

Menerusi hantaran di laman sosial rasminya, Perdana Menteri turut lantang mengingatkan pihak Meta agar tidak menjadi bacul dan perkakas kepada rejim Zionis.

ARTIKEL BERKAITAN: Ketua Hamas, Ismail Haniyeh terkorban di Iran

"Meta sekali lagi bertindak biadab dan telah menghina perjuangan rakyat Palestin apabila menurunkan hantaran video serta ucapan takziah dan kritikan terhadap pembunuhan Almarhum Ismail Haniyeh.

"Tidak masuk akal apabila hantaran menghormati seorang pejuang yang berusaha memerdekakan tanah airnya daripada kezaliman dan penderitaan dianggap berbahaya.

"Peringatan tegas saya terhadap Meta; usah jadi bacul dan perkakas rejim zalim Zionis Israel!" tulisnya.

Terdahulu pada Rabu, Bahagian Media dan Komunikasi Strategik, Pejabat Perdana Menteri (PMO) mengecam tindakan Meta menurunkan hantaran foto di Instagram yang memaparkan perjumpaan Anwar dengan pemimpin Hamas itu di Doha, Qatar, pada Mei lalu.

Ismail dilaporkan terbunuh dalam serangan bersasar peluru berpandu di Tehran, Iran pada Rabu.

Pembunuhan Allahyarham yang juga Ketua Biro Politik Hamas itu dikutuk oleh seluruh dunia.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain