IBU bapa kepada bayi malang bernama Nour Rania Asyifaa Yuseri atau Baby Syifaa mahu tindakan dikenakan ke atas bekas pengasuh kerana kecuaian hingga menyebabkan kematian kanak-kanak itu. Luahan itu susulan Mahkamah Koroner pada Rabu memutuskan kematian bayi itu dua tahun lalu disebabkan pengasuh meninggalkan mangsa tanpa pengawasan di sebuah bilik selama dua jam. Bapa Baby Syifaa, Yuseri Yussof yang ditemui di luar mahkamah berkata, dia sudah menjangkakan keputusan inkues. ARTIKEL BERKAITAN: Bukan kemalangan... Kematian Baby Syifaa akibat tekanan pada leher Yuseri kini mahu tindakan segera diambil berikutan insiden tersebut berlaku lebih dua tahun lalu. "Pengasuh sepatutnya dikenakan tindakan segera sejurus selepas kematian anak perempuan saya. "Memandangkan mahkamah telah menyampaikan penghakimannya, kami berharap pihak polis dapat menahannya hari ini, dan jika boleh, dakwa dia esok," katanya. Terdahulu, Mahkamah Koroner memutuskan kematian kanak-kanak itu di sebuah Taska pada Februari 2022 berpunca daripada tekanan pada leher. Keputusan itu dibacakan Koroner, Datin Surita Budin pada Rabu. Menurut Surita, kematian bayi malang bernama Nour Rania Asyifaa Yuseri itu bukanlah satu kemalangan atau kecelakaan tetapi disebabkan tergantung di dalam buaian yang ditinggalkan pengasuh. Seramai 28 saksi dipanggil memberi keterangan termasuk ibu dan bapa Baby Syifaa sepanjang prosiding inkues bermula 22 September 2022. Untuk rekod, Baby Syifaa yang berusia 15 bulan ditemukan tidak sedarkan diri dalam buaian di sebuah bilik di pusat asuhan di Taman Nusari Aman di Bandar Sri Sendayan pada 22 Februari 2022. Pada 30 Mac 2022, Yuseri mendakwa anaknya dijerut dan bukan meninggal dunia disebabkan kepala terjerut pada kain buaian. - The Star Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube