suria

Datuk meninggal dunia, cucu cedera di kepala... Motosikal dilanggar kereta di Kota Setar

Keadaan kedua-dua kenderaan yang bertembung di hadapan Taman Puteri.

SEORANG warga emas maut manakala cucunya cedera di kepala selepas motosikal yang ditunggang bertembung sebuah kereta di hadapan Taman Puteri di Pokok Sena, Kedah.

Mangsa yang berusia 79 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas tidak memberi tindak balas ketika dirawat pasukan perubatan.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad dalam satu kenyataan berkata, kejadian berlaku sekitar pukul 9 pagi Selasa.

“Pusat kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar menerima maklumat mengenai kemalangan jalan raya membabitkan sebuah kereta dan motosikal.

“Setibanya di lokasi, mereka mendapati penunggang motosikal lelaki berusia 79 tahun tidak bertindak balas dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Cucu mangsa berusia tiga tahun yang cedera segera dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.

Siti Nor Salawati berkata, siasatan awal polis mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada sebuah kereta dalam perjalanan dari arah Kuala Nerang ke Alor Setar, melanggar motosikal berkenaan.

“Rempuhan di hadapan Taman Puteri di Pokok Sena mengakibatkan dua kenderaan itu terbabas dan terbabas ke tepi jalan.

“Kita masih menjalankan siasatan lanjut dengan mengesan saksi bagi mengetahui punca sebenar kemalangan.

“Mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah untuk siasatan lanjut.

“Manakala kanak-kanak berusia tiga tahun yang mengalami kecederaan di kepala sedang dirawat di Zon Merah di hospital sama,” katanya.

Tambahnya, lelaki berusia 28 tahun yang memandu kereta itu mengalami kecederaan ringan dan sedang menerima rawatan di Zon Kuning di hospital sama.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu,” katanya.

Beliau menggesa orang ramai terutama yang pernah menyaksikan kemalangan itu supaya tampil ke Balai Polis Kota Setar atau menghubungi Pegawai Siasatan Trafik Insp Mohamad Nor Amin Shariffudin di talian 04-732 1222 atau 017-4746379 bagi membantu siasatan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain