suria

Selamat tinggal ais krim ubat batuk... KKM keluar notis larangan, henti jual serta-merta!

Inside Scoop sebelum ini menjual ais krim yang dicampur ubat batuk

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) memandang serius penjualan produk ais krim yang dicampur dengan ubat batuk tradisional Pei Pa Koa (Cap Ibu dan Anak) oleh sebuah rangkaian premis jualan ais krim.

Hasil semakan KKM melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM), mendapati ais krim tersebut disediakan bersama picagari yang berisi ubat batuk Pei Pa Koa.

Ujar kenyataan itu lagi, Pei Pa Koa (Cap Ibu dan Anak) adalah produk berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, KKM, di bawah kategori Tradisional, dengan nombor pendaftaran MAL06061564T yang digunakan untuk melegakan sakit tekak dan batuk yang mana kontraindikasi bagi wanita hamil seperti yang dinyatakan pada label.

Bagaimanapun katanya, di bawah Seksyen 13B (2), Akta Makanan 1983 tidak membenarkan penyediaan atau penjualan apa-apa makanan yang diadukkan.

"Sekiranya disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda yang tidak melebihi RM 20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya.

"Sehubungan itu, semua premis yang menjalankan aktiviti penjualan produk ini adalah diarahkan untuk menghentikan serta-merta penjualan semua produk tersebut bagi tujuan keselamatan kepada pengguna dan orang ramai," ujar kenyataan itu.

Di samping itu, katanya, semua media pengiklanan termasuk platform e-dagang dan media sosial hendaklah menghentikan penyiaran iklan makanan tersebut.

Tambahnya, pihak industri makanan adalah diingatkan supaya bertanggungjawab untuk memastikan semua produk makanan yang dijual mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya walaupun bagi tujuan untuk pemasaran dan melariskan jualan.

"Orang ramai juga adalah dinasihatkan supaya lebih peka dengan isu keselamatan makanan dan perlu sentiasa berhati-hati dalam membeli produk makanan yang mungkin diaduk dengan bahan yang tidak sesuai atau tidak selamat untuk dimakan.

"KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam keselamatan pengguna," tambah kenyataan itu.

Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melayari laman sesawang Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) serta Facebook Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM).

Dalam pada itu, premis yang dimaksudkan, Inside Scoop menyatakan pengeluaran ais krim berperisa Pei Pa Koa akan dihentikan serta merta.

"Berdasarkan nasihat daripada KKM, kami mengucapkan selamat tinggal kepada ais krim berperisa Pei Pa Koa, serta merta.

"Jika anda ada membuat pesanan secara atas talian, jangan risau, pihak kami akan menghubungi anda bagi membuat pemulangan wang," katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, pihak Inside Scoop turut memohon maaf atas kesulitan yang berlaku dan menghargai pengalaman anda.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain