suria

Berdepan cabaran di IPT, Yayasan Perkasa Siswa ringankan beban mahasiswa... Suntik semangat teruskan pengajian

Mahasiswa berdepan dengan pelbagai cabaran sepanjang tempoh pengajian. -Gambar hiasan (AZLINA ABDULLAH)

PELBAGAI cabaran yang dihadapi pelajar di institusi pendidikan tinggi (IPT), terutama kekangan kewangan untuk menanggung kos sara hidup dan perbelanjaan lain.

Sebahagian besar mahasiswa bergantung sepenuhnya kepada pinjaman pendidikan untuk memastikan kehidupan mereka sepanjang tempoh pengajian berjalan lancar dan teratur.

Bagi menyokong dan menyahut suara mahasiswa, Yayasan Perkasa Siswa (YPS) yang merupakan agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) komited untuk membantu golongan itu menerusi pelbagai inisiatif berlandaskan aspek pembangunan program, kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif YPS, Hirman Awang berkata, usaha dijalankan bersama pihak kerajaan yang mendapat kerjasama sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) serta perseorangan dengan penglibatan semua IPT.

Menurut Hirman, pelbagai aktiviti dirangka dan dilaksanakan untuk mahasiswa seperti tajaan program dan aktiviti pembangunan pelajar, bantuan kebajikan termasuk juga bantuan khairat kematian, kemalangan atau bencana serta perubatan.

Terdapat empat kluster program pembangunan pelajar yang terdiri daripada aspek keusahawanan, kesukarelawanan, pengantarabangsaan dan kepimpinan, serta khidmat komuniti.

Interview with Higher Education Minstry's director of student affairs Hirman Awang on Yayasan Perkasa Siswa. —LOW LAY PHON/The Star

Hirman menggesa lebih ramai pelajar IPT menggunakan Yayasan Perkasa Siswa sebagai bantuan kelangsungan hidup di kampus. Foto LOW LAY PHON/Star Media Group

Usaha memantapkan agenda memperkasakan mahasiswa ini juga dilihat seiring dengan penjenamaan semula yayasan ini dahulunya dikenali sebagai Yayasan Kebajikan Siswa kepada Yayasan Perkasa Siswa pada 5 Disember 2023.

“YPS merupakan salah satu agensi berfungsi mengurus dan menyelaras hal ehwal pemerkasaan yang merangkumi program dan aktiviti pembangunan pelajar, kesejahteraan dan kebajikan mahasiswa secara bersepadu, khususnya dalam konteks penjanaan dan penyaluran dana bantuan demi melahirkan mahasiswa yang holistik.

“Menariknya tentang yayasan ini, ia ditubuhkan atas permintaan mahasiswa sendiri. Jadi, pihak universiti sendiri senang hati apabila mereka tahu ada satu lagi badan yang turut membantu golongan pelajar untuk melaksanakan aktiviti dalam segala bentuk,” katanya dalam satu temu bual khas bersama media di KPT, Putrajaya.

Mengenai usaha menggalakkan aktiviti keusahawanan dalam kalangan mahasiswa, Hirman memaklumkan bahawa YPS menyediakan geran khas bagi pelajar yang berminat untuk mengusahakan perniagaan, sama ada di dalam atau luar kampus.

Mengulas lanjut, jelas beliau, pelajar hanya perlu membuat permohonan dana bagi mendapatkan geran sebanyak RM5,000 (bergantung kepada jenis perniagaan) kepada KPT secara terus sekiranya berminat untuk menjalankan program berbentuk keusahawanan.

“Sebelum ini kita beri geran keusahawanan kepada lima pelajar Universiti Malaya (UM) berjumlah RM1,500 untuk memulakan perniagaan percetakan. Pelajar-pelajar ini hanya perlu kemukakan pelan dan model rangka perniagaan yang mereka ingin buat dan kita akan nilai untuk kelulusan.

"Bukan itu saja, pihak YPS juga membenarkan permohonan dana bagi perniagaan secara dalam talian seperti menjadi agen perniagaan atau menyertai program affiliate,” ujarnya.

Yayasan Perkasa Siswa mengurus dan menyelaras hal ehwal pemerkasaan yang merangkumi program dan aktiviti pembangunan pelajar, kesejahteraan dan kebajikan mahasiswa secara bersepadu. -Gambar hiasan (Star Media Group)

Selain itu, Hirman berkata, badan rasmi ini turut berperanan menguruskan kebajikan dari segi bantuan sekiranya pelajar berdepan kesukaran melangsaikan hutang pengajian serta kemalangan yang sebelum ini kerap disalurkan.

“Sekiranya pelajar berhutang (yuran) dengan universiti, tak kan nak minta bantuan dekat mereka (universiti)? Jadi, melalui YPS ada dana tersebut untuk pelajar dalam kesulitan untuk membayar yuran pengajian sama ada untuk uruskan atau menamatkan pengajian.

"Permohonan boleh dihantar kepada yayasan untuk kami mencari jalan terbaik bagi membantu menyediakan bantuan kewangan pendidikan kepada mereka.

“Ada pelajar mempunyai masalah laptop hilang. Selain itu ada juga pelajar mengalami masalah cermin mata patah. Bagi orang lain mungkin nilai kos untuk baikinya hanya kecil. Tapi pelajar daripada kategori B40 atau miskin tegar mungkin tiada sumber untuk membuat bayaran. Jadi kami wujudkan Care4u untuk menyalurkan sumbangan.

“Lembaga Pemegang Amanah (LPA) membuat keputusan minimum RM1,000 untuk bantuan kemalangan. Jadi, pelajar yang terlibat dalam kemalangan menyebabkan patah dan cedera boleh buat permohonan. Yayasan sedia menghulurkan bantuan,” katanya.

art

Aktiviti keusahawanan dalam kalangan mahasiswa turut diperkasakan. -Gambar hiasan (YAP CHEE HONG/Star Media Group)

Yayasan sentiasa menjaga hal ehwal kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa melalui sumbangan dan bantuan dalam pelbagai bentuk. Terdapat sembilan kluster bantuan:

1) Bantuan Khas Bencana – Bantuan untuk mahasiswa keluarga yang dilanda bencana alam seperti banjir dan sebagainya.

2) Bantuan Kemalangan – Bantuan kos rawatan dan perubatan bagi mahasiswa yang ditimpa kemalangan.

3) Bantuan Perubatan – Bantuan kepada mahasiswa yang mengalami masalah kesihatan atau penyakit kritikal/kronik

4) Bantuan Khairat Kematian – Bantuan kepada waris mahasiswa yang meninggal dunia.

5) Bantuan Pendidikan – Bantuan bagi mahasiswa yang mempunyai kekangan pembayaran yuran.

6) Bantuan Care4U – Bantuan buat mahasiswa yang berkeperluan dan kurang berkemampuan

7) Bantuan Care4Oku – Bantuan buat mahasiswa OKU

8) Bantuan Food@Campus – Pemberian baucar makanan

9) Bantuan Kewangan One-Off – Bantuan-bantuan lain yang tiada dalam kategori di atas (hilang peranti, tiada duit poket dan sebagainya)

Pelbagai jenis bantuan boleh dimohon pelajar IPT mengikut keperluan masing-masing.

Dalam pada itu, Hirman memberitahu, YPS mampu menyokong dan memperkasakan pelajarnya adalah hasil rakan strategik utama iaitu RHB Islamic Bank Bhd, OneXOX serta GMAT.

Bagaimanapun, YPS terbuka kepada mana-mana badan di luar sana yang berminat untuk menjadi rakan strategik bagi membantu lebih ramai pelajar di masa akan datang.

“Dengan lebih 1.2 juta pelajar pendidikan tinggi di seluruh negara yang berdaftar dengan KPT, diharapkan lebih banyak kerjasama diperlukan dengan rakan kongsi luar supaya yayasan boleh dimanfaatkan seramai mungkin.

“Sehingga kini, YPS telah menyediakan geran dan bantuan kewangan berjumlah RM4.8 juta dalam menjaga kebajikan pelajar.

“Jika ada sokongan daripada pihak-pihak korporat mahupun NGO yang ingin berkerjasama, kita sedia untuk berbincang dan melihat bagaimana kita boleh sama-sama bantu pelajar,” katanya lagi.

Untuk maklumat lanjut, sila layari Perkasa Siswa.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain