suria

“Saya akan tunggu” - Abang Nur Farah Kartini puas hati Lans Koperal Alif Monjani dituduh membunuh, harap adik dapat pembelaan

Mohd Farizza (kanan) terkilan tidak dapat hadir ke mahkamah. Kiri suspek didakwa pada Jumaat. Foto GLENN GUAN

"SAYA akan tunggu," demikian kata abang kepada Allahyarham Nur Farah Kartini Abdullah mengenai prosiding pendakwaan suspek kes bunuh adiknya di Mahkamah Majistret di Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor pada Jumaat.

Bercakap kepada mStar, Mohd Farizza Azmi, 28, berkata, dia akan setia menunggu bagi mengikuti perbicaraan di mahkamah pada 30 Ogos depan.

"Ya, saya akan hadir ke mahkamah nanti. Saya harap dia terima hukuman yang setimpal dengan apa yang dia buat," katanya ketika dihubungi.

Allahyarham Nur Farah Kartini merupakan lepasan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Mohd Farizza bagaimanapun meluahkan rasa terkilan apabila dia, ibu bersama sebahagian ahli keluarga lain tidak dapat hadir ke mahkamah di Kuala Kubu Bharu pada Jumaat.

"Kami rasa sedikit terkilan sebab tak dapat ikut sama ke mahkamah pagi ni," ujarnya yang kini berada di Miri, Sarawak.

Bagaimanapun katanya, terdapat wakil keluarganya yang hadir ke mahkamah.

ARTIKEL BERKAITAN: Lans Koperal Alif Monjani didakwa bunuh Nur Farah Kartini

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya bergurau, nak tuntut hadiah” - Abang Nur Farah Kartini terkilan sambut ‘birthday’ tanpa adik tersayang... Mahu suspek bunuh dihukum!

Pada pagi Jumaat, anggota polis, Lans Koperal Muhammad Alif Monjani, didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor, kerana membunuh bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza yang bertindak sebagai Majistret.

Ini kerana kes bunuh itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

The policeman detained in connection with the murder of Nur Farah Kartini Abdullah arriving at the Kuala Kubu Bharu magistrate’s court ahead of his trial, May 26, 2024.  — GLENN GUAN/The Star

Muhammad Alif Monjani, didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu atas pertuduhan membunuh Nur Farah Kartini. Foto GLENN GUAN

Mengikut pertuduhan, Muhammad Alif, 26, didakwa membunuh Nur Farah Kartini di ladang kelapa sawit Kampung Sri Keledang, berhampiran Felda Gedangsa di antara 10 Julai hingga 15 Julai lalu.

Dia didakwa melakukan pembunuhan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati atau penjara di antara 30 hingga 40 tahun dengan tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Ku Hayati Ku Haron memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan kes seterusnya bagi menyerahkan laporan asid deoksiribonukleik (DNA) dan laporan telekomunikasi (telco).

Mahkamah kemudian menetapkan 30 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

Mohd Farizza menziarah pusara arwah adik, Nur Farah Kartini.

Terdahulu, mStar melaporkan Mohd Farizza tenang apabila mendapat tahu suspek kes bunuh adiknya akan didakwa di mahkamah pada Jumaat.

"Saya rasa berpuas hati dapat tahu suspek didakwa, tapi itu belum cukup lagi. Walaupun suspek dituduh dan didakwa di mahkamah, ia tidak dapat mengembalikan adik saya.

"Sukar nak digambarkan, hanya Tuhan saja yang tahu... hati saya sangat sedih. Tapi saya berharap suspek dijatuhi hukuman setimpal," katanya.

Untuk rekod, tertuduh ditahan pada 15 Julai lalu susulan penemuan mayat Nur Farah Kartini di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang dekat Felda Gedangsa, Hulu Selangor, pada hari sama.

Mayat Nur Farah Kartini ditemukan dipercayai dibunuh selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan di Tanjung Malim, Perak.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain