suria

Sebutan semula kes ibu bapa Zayn Rayyan ditetapkan 18 September

Zaim Ikhwan Zahari (kanan) dan Ismanira Abdul Manaf (dua,kiri) ketika hadir ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Jumaat. Foto Bernama

MAHKAMAH Sesyen Petaling Jaya menetapkan 18 September depan sebagai tarikh baharu sebutan semula kes terhadap ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin yang didakwa mengabaikan kanak-kanak austisme itu, Disember tahun lalu.

Tarikh tersebut ditetapkan Hakim Syahliza Warnoh, selepas Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Qistini Qamarul Abrar memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya masih lagi menunggu laporan bedah siasat dan rakaman litar kamera tertutup (CCTV).

Pada 28 Jun lalu, ibu dan bapa Zayn Rayyan, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadap kanak-kanak berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu bapa Zayn Rayyan tiba di mahkamah untuk prosiding sebutan kes, datuk dan nenek turut hadir

Bagaimanapun, Zaim Ikhwan dan Ismanira, masing-masing berusia 29 tahun, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anaknya, Zayn Rayyan, 6, mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Untuk rekod, Zayn Rayyan dilaporkan hilang di kediaman keluarganya di Apartment Idaman, Damansara Damai, Selangor pada 5 Disember tahun lalu, sebelum mayatnya ditemukan di anak sungai berhampiran kawasan apartment berkenaan pada keesokan hari.

Laporan bedah siasat yang dikeluarkan pada 7 Disember mengesahkan kanak-kanak itu mati dibunuh kerana terdapat kesan kecederaan pada leher serta badannya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain