suria

Bukan kemalangan... Kematian Baby Syifaa akibat tekanan pada leher

Baby Syifaa ditemukan tidak sedarkan diri dalam buaian di pusat asuhan pada 22 Februari 2022.

SELEPAS lebih dua tahun, akhirnya kematian Baby Syifaa yang ditemukan tidak sedarkan diri dalam buaian di pusat asuhannya diputuskan berpunca daripada tekanan pada leher.

Keputusan itu dibacakan Koroner, Datin Surita Budin pada Rabu.

Menurut Surita, kematian bayi malang bernama Nour Rania Asyifaa Yuseri itu bukanlah satu kemalangan atau kecelakaan tetapi disebabkan tergantung di dalam buaian yang ditinggalkan pengasuh.

"Kematiannya disebabkan akibat tekanan pada leher dan tekanan ini bersesuaian dihasilkan oleh berat badan si mati apabila lehernya tersangkut di bahagian tepi sisi hujung kain buaian.

"Bagi tujuan inkues ini saya berpuas hati bahawa atas imbangan kebarangkalian berdasarkan keterangan daripada saksi-saksi apabila dilihat secara keseluruhannya, untuk mahkamah memutuskan kematian si mati bukanlah satu kemalangan atau kecelakaan.

"Tetapi terdapat keterangan kukuh yang menunjukkan si mati tergantung di dalam buaian disebabkan tindakan atau tinggalan S19 (pengasuh) yang tinggalkannya di dalam buaian tanpa pengawasan yang sewajarnya dalam jangka masa yang munasabah," katanya.

Menurutnya, keadaan itu akhirnya menyebabkan kematian bayi berkenaan yang membawa kepada satu perbuatan menyalahi undang-undang.

Ibu bapa kepada Baby Syifaa iaitu Anida Idrus dan Yuseri Yussof turut hadir bagi mendengar keputusan itu.

Seramai 28 saksi dipanggil memberi keterangan termasuk ibu dan bapa Baby Syifaa sepanjang prosiding inkues bermula 22 September 2022.

Untuk rekod, Baby Syifaa yang berusia 15 bulan ditemukan tidak sedarkan diri dalam buaian di sebuah bilik di pusat asuhan di Taman Nusari Aman di Bandar Sri Sendayan pada 22 Februari 2022.

Pada 30 Mac 2022, Yuseri mendakwa anaknya dijerut dan bukan meninggal dunia disebabkan kepala terjerut pada kain buaian.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain