suria

Suspek penculikan Albertine ditahan semula, miliki bahan lucah kanak-kanak dan mainan seks di rumah

Suspek culik Albertine miliki bahan lucah kanak-kanak.

POLIS telah menahan semula seorang suspek yang sebelum ini direman berhubung penculikan Albertine Leo Jia Hui yang berusia enam tahun.

Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, suspek ditahan pada Ahad selepas pelbagai alat mainan seks dan bahan lucah kanak-kanak ditemui di kediamannya di Kulai, Johor.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana memiliki bahan penderaan seksual kanak-kanak dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana memiliki bahan lucah,” katanya dalam satu kenyataan.

Kumar menambah, Seksyen 10 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 membawa hukuman penjara sehingga lima tahun, denda tidak melebihi RM10,000, atau kedua-duanya manakala Seksyen 292 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda, atau kedua-duanya.

Beliau menasihatkan orang ramai khususnya ibu bapa supaya sentiasa memantau aktiviti, perkembangan emosi dan fizikal anak-anak mereka bagi mengesan sebarang tanda penderaan seksual lebih awal bagi membawa pesalah ke muka pengadilan.

“Masyarakat juga perlu peka dengan trend jenayah semasa dan mendidik anak-anak mereka tentang bahaya terutamanya di media sosial,” katanya.

Kumar menambah, sebarang maklumat berhubung kejadian seumpama itu boleh dilaporkan kepada talian hotline polis Johor di talian 019-279 2095 atau bilik gerakannya di 07-221 2999.

Perintah reman awal terhadap suspek untuk siasatan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik, antara lain, tamat pada Ahad (4 Ogos).

Albertine hilang dalam acara Bon Odori di pusat beli-belah di Iskandar Puteri pada 8.30 malam pada 20 Julai dan diselamatkan dari sebuah hotel bajet di Batang Kali, Selangor pada 4.45 petang pada 23 Julai.

Seorang lelaki berusia 31 tahun yang bersamanya di hotel itu turut ditahan. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain