suria

Berang ditegur tak pulangkan motosikal pinjam, lelaki tikam rakan

Emosi yang gagal dikawal boleh membawa banyak mudarat. -Gambar hiasan

GARA-GARA berang ditegur mengenai motosikal yang dipinjam tidak dipulangkan, seorang lelaki menikam rakannya dalam satu kejadian l di Semenyih, Selangor, Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata pihaknya menerima maklumat awam pada pukul 2.51 petang mengenai seorang lelaki berusia 23 tahun yang cedera ditikam di sebuah pangsapuri.

Mangsa seterusnya dikejarkan ke Hospital Kajang untuk menerima rawatan segera.

Menurut Naazron, siasatan mendapati kejadian berpunca daripada salah faham antara mangsa dengan suspek berikutan suspek gagal memulangkan motosikal dipinjam sejak bulan lalu.

"Ketika pertemuan di rumah kakak mangsa, suspek dimarahi mangsa, suspek kemudiannya bertindak mengambil pisau di dapur rumah dan mengejar lalu mencederakan pemuda terbabit.

"Pemeriksaan mendapati mangsa mengalami tiga kesan tikaman di bahagian belakang pinggang dan satu di bahu sebelah kiri.

“Bagaimanapun mangsa dalam keadaan sedar serta stabil dan kini ditahan di Wad Hospital Kajang bagi tujuan rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Tambah Naazron, suspek sedang dikesan bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau dengan sebat, atau kedua-duanya sekali," ujarnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain