PENGUASAAN bahasa Inggeris dalam kalangan murid di sekolah adalah penting untuk masa depan generasi muda yang lebih terjamin. Menyedari kepentingan itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa komited mempertingkatkan kemahiran dan kualiti pendidikan bahasa Inggeris secara keseluruhan, yang ditetapkan sebagai fokus utama pada 2024. Antara inisiatif terbaharu KPM adalah Pelan Pemerkasaan Pendidikan Bahasa Inggeris (3PBI) yang merupakan inisiatif di bawah Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI). Perkembangan ini selaras dengan aspirasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sentiasa menekankan kepentingan menguasai bahasa Inggeris dan juga tiga teras utama kecemerlangan KPM. Tiga teras tersebut adalah menekankan aspek karamah insaniah melalui pembentukan adab, akhlak dan integriti, mengatasi isu keciciran pendidikan serta masalah literasi dan numerasi selain meningkatkan keupayaan pendidikan digital di sekolah. Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Sekolah), Zainal Abas berkata, pelancaran 3PBI melengkapkan program bahasa Inggeris yang sedia ada di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dan Roadmap Bahasa Inggeris 2015-2025. “Tujuannya adalah memastikan momentum transformasi pendidikan bahasa Inggeris yang dimulakan dalam PPPM sejak 2013 dapat diteruskan secara berfokus dan sistematik,” ujar Zainal. Zainal berkata KPM menitikberatkan penguasaan subjek bahasa Inggeris di sekolah-sekolah. Matlamat 3PBI Menurut Zainal, segalanya bermula dengan guru dan warga pendidik sekiranya hendak membantu murid memiliki kemahiran bercakap dan membaca aras tinggi dalam bahasa Inggeris. “Inilah matlamat utama 3PBI iaitu untuk meningkatkan kualiti guru bahasa Inggeris melalui kursus peningkatan profesionalisme dan sijil kemahiran. “Selain itu, 3PBI berhasrat membangunkan keupayaan penggunaan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris serta menyediakan sumber bahan bantu mengajar yang lebih baik,” katanya. Tingkat kualiti guru bahasa Inggeris Antara program yang dilaksanakan di bawah 3PBI adalah program 'Professional Upskilling of English Language Teachers (Pro-ELT) Enhance' yang memfokuskan peningkatan kualiti guru bahasa Inggeris. “Menerusi Pro-ELT Enhance ini, latihan sokongan akan disediakan untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan guru dan pensyarah opsyen bahasa Inggeris. “Modul Pro-ELT juga bersifat interaktif secara atas talian dan seorang fasilitator yang dilantik akan bertugas untuk memberikan bimbingan kepada guru. Secara ringkas, Pro-ELT Enhance merupakan satu platform perkongsian ilmu, idea dan pengalaman sesama komuniti guru Bahasa Inggeris bagi menyokong guru dalam mencapai tahap profisiensi yang dihasratkan. . “Pro-ELT Enhance menyediakan ruang dan peluang untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris mereka melalui pelbagai latihan interaktif dan berkongsi idea dan pengalaman sesama guru dalam memastikan tahap penguasaan mereka dalam dimantapkan.” jelas beliau. Seterusnya dalam 3PBI adalah Maximising Highly Immersive Programme (HIPMax) yang bertujuan meningkatkan kemahiran berkomunikasi dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah. Ia direalisasikan menerusi beberapa aktiviti menarik seperti Chat in English (CiE) dan Malaysian Story Fest (MFS). Selain itu, terdapat juga Program Critical Reading Strategy (CRS) untuk mengembangkan kemahiran membaca secara kritis bagi murid sekolah dan Program Oral Communication (OC) yang memberi tumpuan kepada kemahiran bercakap pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). “Program CRS bertujuan meningkatkan kemahiran membaca aras tinggi dalam kalangan pelajar. “Objektifnya adalah meningkatkan kompetensi literasi bacaan aras tinggi bagi Bahasa Inggeris, menyediakan bahan sokongan pembelajaran dan pengajaran serta membangunkan program bacaan menyeluruh dari prasekolah hingga sekolah menengah. “Manakala untuk pelajar lepasan sekolah menengah, terutamanya dalam TVET, Program OC memberi tumpuan kepada meningkatkan kemahiran bertutur untuk kebolehpasaran graduan. “Program ini menggunakan alat digital untuk aktiviti pembelajaran gamified, menyokong kurikulum bahasa Inggeris di kolej vokasional,” ujar Zainal. 3PBI juga merangkumi program HIP Remedial Instruction (HIPRI) bagi menangani isu keciciran pendidikan dan masalah literasi. “Objektifnya adalah meningkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris murid dan menyediakan pengisian profesional untuk guru bahasa Inggeris,” katanya mengenai 4,500 guru bahasa Inggeris yang sudah menerima latihan HIPRI setakat ini. HIPMax bantu penguasaan bahasa Inggeris Untuk makluman, HIPMax adalah peluasan daripada program HIP yang sudah dijalankan di sekolah sejak 2016. “Pembelajaran subjek secara teori di bilik darjah sahaja tidak mencukupi, Ianya juga harus dibuat secara amali dalam kehidupan harian seorang murid untuk memastikan penguasaan bahasa Inggeris dapat dimantapkan. “Antara aktiviti HIPMax adalah Chat in English (CIE) di mana seminggu dalam sebulan untuk bercakap sepenuhnya menggunakan bahasa Inggeris. Contohnya kalau murid nak beli makanan pada waktu rehat, makcik kantin kena ikut sekali berbahasa Inggeris. Ini bermakna seluruh komuniti sekolah harus turut serta dalam program ini. “Program Malaysian Folklore StoryFest menekankan kepada pembentukan karakter murid melalui pembacaan dan penghayatan cerita rakyat Malaysia dalam bahasa Inggeris seperti kisah Si Tikus dan Sang Singa,” katanya. MFS dilaksanakan menggunakan pelbagai kaedah seperti sesi perbengkelan, pertandingan bercerita dan pementasan teater. Dalam pada itu, Zainal turut memuji sebuah sekolah yang ternyata cemerlang dalam melaksanakan MFS iaitu SK Taman Megah di Petaling Jaya, Selangor. “Saya kagum melihat komitmen daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah ini. Para ibu bapa sendiri berusaha membuat pementasan teater sebagai model dan contoh yang baik untuk diikuti oleh anak-anak di sekolah tersebut. “Ibu bapa bukan sahaja melaburkan masa untuk latihan pementasan, tetapi juga membelanjakan wang untuk membeli kostum dan keperluan lain sebagai tanda sokongan dalam mewujudkan suasana imersif Bahasa Inggeris di sekolah. “Inilah yang ingin kita lihat melalui HIPMaX secara keseluruhannya agar murid mendapat pengalaman mempelajari Bahasa Inggeris dalam suasana yang imersif,” jelas Zainal. Murid sekolah menyertai aktiviti Malaysian Folklore StoryFest (MFS). Pendigitalan 3PBI di sekolah Zainal juga menekankan kepentingan untuk bergerak seiring dengan dunia digital bagi memastikan kelancaran program pembelajaran bahasa Inggeris di sekolah. “Kalau kita kenang waktu zaman sekolah dulu, biasanya setiap kali kelas bahasa Inggeris, guru akan minta seorang murid untuk bangun dan baca perenggan dalam buku teks. Selalunya murid yang sama sukarela membaca ni, yang lain lebih selesa berdiam. “Tapi tak best la macam tu sebab nanti hanya seorang yang mahir berbahasa Inggeris, manakala yang lain akan ketinggalan. Jadi sebab itu kita memperkenalkan aplikasi Read Along yang boleh dimuat turun menerusi Google Play Store dan platform DELIMa. “Bagusnya aplikasi Read Along ini adalah ia diperibadikan (personalised) untuk murid, jadi mereka boleh baca bersendirian melalui komputer atau telefon pintar, tak perlu rasa segan dengan kawan-kawan lain. “Papan pemuka Read Along juga sangat menarik dan tidak membosankan, sesuai untuk murid yang tempoh tumpuannya pendek,” jelas Zainal sambil menambah guru dan ibu bapa juga boleh memantau kemajuan anak berbahasa Inggeris menerusi aplikasi tersebut. Mengenai kemungkinan masalah peranti dan capaian internet di sekolah pedalaman, Zainal memberikan jaminan ia bukan suatu isu. “Semua sekolah di Malaysia bersambung menerusi jalur lebar antara satu sama lain, tak kisah di hulu mana sekalipun, rangkaian internet akan disediakan melalui kabel fiber optik, satelit dan Starlink. “Setiap sekolah juga dipastikan mempunyai makmal komputer, jadi saya boleh katakan yang soal akses bukan suatu perkara yang perlu dibimbangkan,” ujar Zainal. Pastikan Kejayaan 3PBI Kejayaan 3PBI memerlukan komitmen daripada semua pihak yang terlibat dalam ekosistem pendidikan, termasuk kakitangan sekolah, ibu bapa dan komuniti. “Semua pemegang taruh perlu komited dalam pelaksanaan pelan 3PBI dan memainkan peranan masing-masing untuk memastikan kejayaan program ini. “3PBI berhasrat untuk memperkukuh pendidikan bahasa Inggeris bagi menyokong Pendidikan manusiawi dan pembentukan generasi Madani. “Ini dapat dicapai melalui peningkatan kecemerlangan murid dalam bahasa Inggeris, peningkatan kualiti guru bahasa Inggeris, serta pembangunan keupayaan penggunaan teknologi dan sumber bahan pengajaran dan pembelajaran,” kata Zainal lagi. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube