SEORANG jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dilaporkan hilang selepas keluar bekerja sejak lebih seminggu lalu. Tular di media sosial mengenai hebahan orang hilang bernama Faizal Ahmad, 39, kali terakhir dilihat memakai baju uniform JPS kira-kira pukul 8.34 malam pada 16 Ogos lalu di sekitar Kota Bharu, Kelantan. "Salam, minta jasa baik rakyat Malaysia, jika mana mana pihak mempunyai pengetahuan tentang keberadaan atau terkesan penama berikut... Faizal bin Ahmad," menurut hantaran yang tular. Kehilangan Faizal turut dikongsikan isterinya, Nurul Ain Muhammad Mudzafar, 39, Menurutnya, suaminya keluar sekitar pukul 4 petang, 16 Ogos lalu dan memaklumkan perlu bekerja di luar kawasan selain akan pulang selepas selesai melaksanakan tugasnya itu dalam tempoh dua atau tiga hari. "Saya tak dapat pastikan tempat dia bekerja tetapi dikatakan di daerah ini sahaja, namun kini sudah 10 hari dia tidak pulang dan telefon bimbitnya pula tidak dapat dihubungi," katanya dipetik sebagai berkata kepada Sinar Harian . Malah Nurul Ain turut memberitahu seluruh keluarga mengharapkan kepulangannya. "Tolonglah balik... saya, anak kita dan mama awak rindukan awak. Baliklah, semua keluarga kita menunggu kepulangan awak," katanya sebak. Menurut suri rumah itu, dia kini hamil enam bulan anak kedua, dan mempunyai anak lelaki berusia enam tahun. Nurul Ain menyifatkan suaminya yang berasal dari Taiping, Perak itu seorang yang baik, sambil menambah mereka tidak mempunyai sebarang perselisihan faham sebelum kehilangan lelaki itu. "Dia juga bapa yang sangat penyayang dan rapat dengan anak sulung. Sekarang anak kami kerap menangis kerana rindukan bapanya," ujarnya. Dalam pada itu, Nurul Ain yang bimbang keselamatan suaminya itu membuat laporan polis di Balai Polis Kota Bharu pada Ahad dan berharap agar suaminya pulang dalam keadaan selamat. "Kali terakhir, dia keluar menunggang motosikal Ego Avantiz bernombor plat DDU4787. Saya meminta orang ramai yang terlihat suami saya untuk membantu menghubungi saya atau mana-mana balai berdekatan," katanya lagi. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube