suria

Dikejar hingga ke hospital! Pemuda maut ditetak, diserang sekumpulan lelaki bertopeng

Tangkap layar video tular mengenai insiden serangan dekat Hospital Jasin.

SEORANG lelaki berusia 24 tahun maut dipercayai ditetak dan diserang lelaki bertopeng dekat Hospital Jasin di Melaka.

Lebih mencemaskan, kakitangan perubatan dan pesakit turut menyaksikan insiden serangan itu.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Ahmad Jamil Radzi berkata, mangsa pertama kali diserang sekumpulan lelaki bertopeng bersenjatakan parang di sebuah kedai gunting rambut di Taman Rim Baru di Jasin, kira-kira jam 8.40 malam Ahad.

"Mangsa yang cedera sempat menghubungi adik lelakinya berusia 22 tahun bagi mendapatkan pertolongan dengan membawanya ke Hospital Jasin untuk mendapatkan rawatan.

"Bagaimanapun, sebaik tiba di bahagian kecemasan hospital, penyerang mengejarnya dan mula menyerangnya tanpa belas kasihan malah memecahkan cermin depan kereta," katanya pada Isnin.

Ahmad Jamil berkata, adik lelaki mangsa cuba melarikan diri dan mencari perlindungan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin di mana dia turut membuat laporan polis.

Beliau berkata, sebuah ambulans yang diletakkan di unit kecemasan turut mengalami kerosakan dalam kejadian itu.

Tambahnya, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia akibat kecederaan pada jam 10.15 malam.

Menurut Ahmad Jamil, tiga suspek berusia antara 21 dan 31 tahun ditahan pada Isnin dan polis melancarkan gerakan memburu dua lagi suspek yang masih bebas.

"Kita telah mendapatkan perintah reman tujuh hari ke atas ketiga-tiga mereka bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 320 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya sambil menambah polis sedang menyiasat mengenai motif serangan itu. -The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain