suria

Lambakan pekerja binaan asing di Malaysia: CLAB sedia urus sepenuhnya... Pengambilan lebih sistematik, kebajikan terjaga

Kemasukan warga asing sebagai pekerja binaan. -Gambar hiasan (AZHAR MAHFOF)

LAMBAKAN pekerja asing dalam sektor pembinaan di negara ini perlu ditangani sebaiknya.

Isu buruh paksa, penindasan dan masalah kebajikan tidak akan berkesudahan sekiranya pengambilan pekerja binaan asing tidak diuruskan secara berpusat dan bersepadu.

Sampai bila Malaysia mahu terus dilabelkan sebagai antara negara yang mengabaikan kebajikan pekerja asing demi mengejar keuntungan semata-mata?

Realitinya, pada masa ini terdapat lambakan pekerja binaan asing apabila dianggarkan terdapat 600,000 pekerja asing di negara ini, melebihi keperluan industri kira-kira 500,000 orang.

Maka tidak hairanlah Kementerian Kerja Raya (KKR) mencadangkan semua pekerja asing dalam sektor pembinaan diuruskan sepenuhnya oleh Construction Labour Exchange Centre Berhad (CLAB), yang merupakan anak syarikat Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

pekerja asing— GLENN GUAN/The Star

Pekerja asing binaan perlu diuruskan dengan baik dan teratur. -Gambar hiasan (GLENN GUAN/SMG)

Ketua Eksekutif CLAB, Datuk Abdul Rafik Abdul Rajis berkata, sepanjang 20 tahun penubuhan CLAB, bilangan pekerja binaan asing kebiasaannya antara 450,000 hingga 500,000 orang bagi keperluan semasa. tidak pernah melebihi angka 500,000.

Namun katanya, buat pertama kali dalam sejarah industri pembinaan, angka tersebut mencecah hampir 600,000 pada 2024.

“Kenapa naik mendadak secara tiba-tiba? Ini kerana selama dua tahun pengambilan pekerja asing ditutup disebabkan pandemik Covid-19, sehingga menyebabkan kekurangan pekerja yang mendadak dalam industri pembinaan.

“Apabila kerajaan membuka semula kuota pengambilan pekerja asing, pelan kelonggaran ini menyebabkan segelintir pihak mengambil kesempatan dengan mengambil lebih (pekerja) daripada sepatutnya dan tidak mengikut keperluan semasa,” katanya dalam satu temubual eksklusif bersama mStar.

Ketua Eksekutif CLAB, Datuk Abdul Rafik Abdul Rajis.

Untuk rekod, CLAB ditubuhkan oleh CIDB, selaras dengan keputusan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pengambilan Pekerja Asing (JKK-PA) pada 2003 bagi membawa masuk dan mengagihkan semula pekerja asing untuk syarikat atau organisasi pembinaan di negara ini.

Pada Mac lalu, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, cadangan supaya CLAB menguruskan sepenuhnya semua pekerja asing dalam sektor pembinaan akan diusulkan kepada Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk dipertimbangkan.

ARTIKEL BERKAITAN: MHO gesa wujud mekanisme urus lambakan pekerja asing, puji usaha CLAB

ARTIKEL BERKAITAN: CLAB sedia kaedah terbaik atasi kebanjiran pekerja asing industri binaan, jadikan CLQ platform pengurusan berintegrasi

ARTIKEL BERKAITAN: Penginapan pekerja asing selesa di CLQ... Fasiliti lengkap macam huni kondo, setanding negara lain!

Abdul Rafik berkata, lambakan pekerja binaan asing akan menyebabkan timbulnya isu tidak dibayar gaji atau berlaku tunggakan bayaran, selain kewujudan buruh paksa dan penindasan terhadap golongan itu.

“Apabila terdapat keperluan untuk membuka semula pengambilan pekerja asing bagi sektor pembinaan, maka kerajaan boleh mensyaratkan pengambilan pekerja asing mesti diuruskan bawah CLAB. Ketika itu barulah kita boleh mulakan satu entri yang betul,” ujarnya.

Jelasnya, sekiranya kerajaan bersetuju, apabila mana-mana projek pembinaan sudah tamat, pekerja-pekerja itu diserahkan kepada CLAB untuk diagihkan kepada syarikat-syarikat lain.

“Jadi tak perlu kemasukan baharu. Ini Pelan C, maksudnya pertukaran pekerja di samping mengurangkan lambakan pekerja asing di negara ini

“Pelan A iaitu semua pengurusan pengambilan pekerja binaan asing adalah di bawah CLAB. Pelan B pula pekerja asing diuruskan CLAB bagi semua projek dan kontrak kerajaan.

“Bagi Pelan C, jika kerajaan membenarkan CLAB menerima pekerja asing yang berada di Malaysia dan projek pembinaan yang dilakukan mereka telah tamat, boleh diserahkan kepada majikan lain melalui pertukaran tanpa membawa masuk pekerja baharu,” katanya.

Pengurusan lebih mudah dan teratur melalui CLAB bagi kemasukan pekerja asing dalam industri pembinaan. -Gambar hiasan (RAJA FAISAL HISHAN/SMG)

CLAB turut memainkan peranan untuk mengadakan temuduga dan ujian fizikal terhadap pekerja binaan asing, termasuk mengangkat besi, memotong kayu dan ujian kecergasan lain.

Agensi di bawah CIDB itu juga memperkenalkan aplikasi E-biodata bagi memberi kemudahan kepada kontraktor untuk membuat pilihan profil pekerja asing yang memenuhi kriteria yang diperlukan seperti maklumat lengkap individu dan butiran pengalaman pekerja.

Menurut Abdul Rafik, kredibiliti CLAB sepanjang 20 tahun penubuhannya terbukti kerana pernah mengendalikan lebih 20,000 pekerja asing dalam setahun tanpa sebarang masalah.

“Keupayaan ini dapat disaksikan apabila terdapat projek pembinaan mega. Pada 2013, kita mencatatkan seramai 20,833 pekerja asing yang diuruskan, manakala 22,132 pekerja pada 2014,” katanya.

Sejak 2004 sehingga 31 Januari 2024, CLAB berjaya menguruskan seramai 221,665 pekerja binaan asing, melibatkan 11 negara sumber iaitu Indonesia, Bangladesh, Myanmar, Nepal, Vietnam, Thailand, India, Pakistan, Kemboja, Filipina, Sri Lanka dan Laos.

Butiran terperinci mengenai bayaran kemasukan pekerja binaan asing melalui CLAB. Sumber CLAB

Jelas beliau, bagi tahun pertama kemasukan pekerja melalui CLAB, majikan hanya perlu membayar sebanyak RM800 meliputi RM300 (pengurusan), RM300 (pusat transit) dan RM200 (pengangkutan dan dokumentasi).

“Bayaran ini ditanggung sepenuhnya oleh majikan. Bagi setiap tahun berikutnya, majikan hanya perlu membayar RM300 sahaja,” tambahnya.

Selain menguruskan pengambilan dan pertukaran pekerja binaan asing, CLAB juga menelusuri beberapa usahasama dalam menyediakan pusat penginapan pekerja berpusat (CLQ).

Rafik berkata, CLAB bertanggungjawab dalam memastikan majikan memenuhi semua keperluan kawal selia seperti Akta 520 (Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan), Akta 446 (Akta Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Minimum Pekerja), Akta 265 (Akta Pekerjaan) dan Akta 4 (Akta Keselamatan Sosial Pekerja).

CLAB menyambut ulang tahun ke-20 pada Mac lalu. Majlis dihadiri Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan (empat, kiri) dan Abdul Rafik (tiga, kiri).

Sehubungan itu, katanya, organisasi itu juga memantau pematuhan majikan terhadap akta ini dan peraturan lain yang berkaitan untuk memastikan kebajikan pekerja dijaga.

“Jika CLAB diberi mandat untuk menguruskan pekerja binaan asing sepenuhnya, pengambilan pekerja binaan asing akan mengikut keperluan yang sebenar.

“Kita akan menguruskan secara berperingkat mengikut keperluan semasa di samping mengikut peraturan yang ditetapkan, bagi mengatasi lambakan pekerja,” kata Abdul Rafik.

Setakat 31 Januari tahun ini, sebanyak 5,757 kontraktor yang berdaftar dengan CLAB.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain