BERTUAH! Begitulah yang dapat digambarkan tentang keadaan majoriti pekerja asing yang mencari rezeki di bumi Malaysia. Lebih-lebih lagi apabila kumpulan pekerja itu diuruskan dengan teratur di negara ini dan ditempatkan secara kondusif. Buktinya, penulis sendiri merasai pengalaman memasuki ke salah sebuah pusat penempatan pekerja berpusat (CLQ) bagi pekerja asing setinggi 12 tingkat. Sebaik sahaja menjejakkan kaki ke CLQ yang terletak di lokasi strategik di Petaling Jaya, Selangor ini, penulis berasa seperti berada di kawasan kediaman jenis kondominium. Bilik tidur dilengkapi katil, bantal, cadar dan almari. Kemudahan lebih baik Malah, tidak keterlaluan dikatakan kemudahannya lebih baik berbanding di sesetengah kondominium mahupun kediaman bertingkat tinggi di Lembah Klang. Selain pintu masuk berciri keselamatan yang tinggi dan dipantau oleh pengawal keselamatan sepanjang masa dengan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), penempatan ini turut dilengkapi pelbagai kemudahan di bawah satu bumbung. ARTIKEL BERKAITAN: Lambakan pekerja binaan asing di Malaysia: CLAB sedia urus sepenuhnya... Pengambilan lebih sistematik, kebajikan terjaga Bagi penginapan sementara untuk pekerja asing di CLQ, mereka dapat menikmati tidur yang selesa di dalam bilik dilengkapi dengan kipas yang mempunyai katil dua tingkat dan cadar serta almari untuk menyimpan barang dan beg masing-masing. Kemudahan bilik mandi dan tandas yang banyak turut disediakan tanpa perlu berebut-rebut dengan penghuni lain. Fasiliti beribadat seperti surau turut disediakan. Selain di dapur dan meja makan, penghuni juga boleh menikmati hidangan di medan selera. Tidak perlu keluar jauh, di CLQ ini juga mempunyai medan selera yang menyajikan pelbagai jenis hidangan makanan dan minuman sebagai pilihan buat penghuni menjamu selera. Kedai runcit turut disediakan untuk mereka yang mahu membeli barangan keperluan dan barangan segar untuk memasak. Seperti di penempatan untuk pekerja binaan di bangunan sama, kemudahan dapur disediakan untuk mereka yang mahu memasak sendiri, tidak kiralah kerana merindui masakan di kampung halaman atau mahu berjimat. Terdapat juga meja makan untuk para penghuni menikmati hidangan bersama rakan-rakan dari negara sendiri atau dari negara sumber lain. Penghuni boleh membeli barang di pasar mini mahupun mesin layan diri. Beri ketenangan jiwa, fikiran Selain kedai runcit atau pasar mini, pekerja asing juga boleh memperkemaskan diri sebelum mula berkhidmat kerana di sini juga terdapat kedai gunting rambut dan kedai gajet serta telekomunikasi. CLQ ini juga mempunyai kemudahan rawatan seperti klinik sekiranya penghuni sakit dan kedai dobi layan diri bagi mereka yang mahu mencuci pakaian. Kedai gunting rambut. Tidak perlu bimbang untuk berbelanja tunai di kedai-kedai dan medan selera kerana terdapat mesin pengeluaran wang automatik (ATM) disediakan sebagai kemudahan untuk penghuni dari pelbagai negara. Pekerja asing boleh bersenam di gim yang disediakan, terdapat ruang untuk melakukan aktiviti sukan luar, kawasan rekreasi untuk mereka beristirehat dan beriadah. Jika enggan memerap di bilik sahaja, penghuni juga boleh meregangkan otot-otot di kawasan rekreasi sambil ‘healing’ bagi melayan perasaan sebagai perantau. Tempat beriadah untuk para penghuni. Maklumlah, mereka pertama kali menjejakkan kaki ke Malaysia dan merindui kampung halaman serta keluarga tercinta yang ditinggalkan demi mencari rezeki, pastinya mahukan ketenangan jiwa dan fikiran. Tinjauan penulis mendapati segelintir mereka duduk bersantai berbual dengan rakan-rakan senegara dan rakan dari negara lain, serta yang menghabiskan masa menggunakan gajet masing-masing. Setanding luar negara Bagi pekerja binaan asing, mereka akan ditempat di CLQ sebagai pusat transit sebelum ke pusat penempatan yang disediakan majikan masing-masing, berdekatan dengan tapak projek pembinaan. Di tingkat paling atas (rooftop), terbentang luas ruang istirehat yang dipenuhi pokok-pokok kehijauan ala resort. Turut diwujudkan ruang untuk perunding profesional memberi taklimat terperinci kepada warga asing mengenai kemasukan mereka sebagai pekerja di negara ini. Kemudahan gim turut disediakan untuk melakukan aktiviti senaman dan kecergasan. Kemudahan-kemudahan ini adalah setanding dengan pusat penempatan pekerja di luar negara seperti Singapura, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Hong Kong. CLQ merupakan antara usahasama dengan anak syarikat Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) iaitu Construction Labour Exchange Centre Berhad (CLAB), bagi menyediakan sebagai pusat transit yang selesa dan sempurna buat pekerja binaan asing. Pusat transit yang serba lengkap ini merupakan penginapan sehingga empat hari, termasuk diberi makan minum tiga kali sehari serta kursus induksi yang dikendalikan oleh tenaga pengajar. Menurut Ketua Eksekutif CLAB, Datuk Abdul Rafik Abdul Rajis, pusat transit merupakan sebahagian daripada proses kemasukan pekerja binaan asing bagi tahun pertama melalui pengurusan CLAB. Jelas beliau, bagi tahun pertama kemasukan pekerja melalui CLAB, majikan hanya perlu membayar sebanyak RM800 meliputi RM300 (pengurusan), RM300 (pusat transit) dan RM200 (pengangkutan dan dokumentasi). “Bayaran ini ditanggung sepenuhnya oleh majikan. Bagi setiap tahun berikutnya, majikan hanya perlu membayar RM300 sahaja,” tambahnya. Pelbagai kemudahan disediakan di CLQ termasuk dobi layan diri. Selama 20 tahun, CLAB menguruskan lebih 221,000 pekerja binaan asing, termasuk menjalankan proses temuduga pekerja di negara sumber, penyediaan tempat tinggal dan pemantauan gaji serta menjaga kebajikan pekerja. Dengan fasiliti lengkap di CLQ, penulis percaya pekerja asing bagi sektor binaan pastinya lebih bersedia untuk menjalankan tugas di projek pembinaan masing-masing. Jika CLAB diberi ‘mandat’ sepenuhnya untuk menguruskan pekerja binaan asing, pengurusan pekerja asing bagi sektor ini lebih terurus dan terjamin. Apa yang pasti, penempatan mereka di negara ini sama ada di asrama atau apa saja jenis kediaman sudah tentu selesa, sempurna dan selamat sebagaimana di CLQ. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube