SEORANG lelaki yang bertindak mengacukan pisau ke arah anggota polis yang cuba membantunya selepas terbabit dalam kemalangan, akhirnya menerima padah apabila dia ditahan pihak berkuasa. Menurut Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Deputi Superintendan Jaimi Husin, kejadian berlaku pukul 11.35 pagi Sabtu (5 Oktober), di Jalan Expressway Samarahan-Kuching, Kota Samarahan. Ujarnya, anggota dari Unit Peronda Polis (MPV) dikerahkan ke lokasi selepas menerima maklumat mengenai sebuah kereta model Perodua Myvi terbabas di tepi jalan. ARTIKEL BERKAITAN: Pesara guru maut ditikam anak alami halusinasi, suspek melarikan diri sebelum ditemukan meninggal dunia "Semasa anggota polis cuba memberikan bantuan dan mengeluarkan pemandu dari kenderaannya, tiba-tiba dia mengacukan pisau ke arah mereka. "Lelaki tersebut cuba ditenangkan namun gagal memberikan kerjasama," katanya dalam kenyataan pada Ahad. Terdahulu, ujarnya, suspek dalam perjalanan dari Kuching ke Kota Samarahan sebelum kereta yang dipandunya melanggar empat kenderaan lain sehingga menyebabkan dia hilang kawalan dan terbabas ke dalam parit. Beliau menambah, hasil siasatan awal mendapati suspek dipercayai di bawah pengaruh dadah, namun keputusan ujian air kencingnya negatif. Suspek yang berusia 24 tahun itu kemudian ditahan manakala sebilah pisau pemotong sayur yang digunakannya turut dirampas. Ujarnya, suspek akan direman pada Isnin untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 427 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Senjata Berbahaya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube