suria

Berpakaian mencolok mata sertai acara larian, 2 lelaki warga asing didenda RM5,000

Peserta acara larian berkenaan menerima kecaman kerana pemakaian mereka yang tidak sopan.

DUA lelaki warga asing didenda RM5,000 setiap seorang di Mahkamah Majistret Kota Tinggi, Johor selepas mengaku bersalah memakai pakaian tidak sopan semasa acara larian kontroversi di negeri itu.

Satyanarayana Prasad Papoli, 70, dan Arthur Wang, 66, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurkhalida Farhana Abu Bakar pada Isnin.

Pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin kepada Wang, warganegara Taiwan dan dalam bahasa Inggeris kepada Satyanarayana, dari India.

Menurut kertas pertuduhan, mereka didakwa melakukan perbuatan tidak senonoh yang mengganggu orang awam di tempat awam dengan memakai pakaian tidak sopan.

Perbuatan itu dilakukan berhampiran sebuah hotel di Jalan Utama Jalan Desaru, Pengerang, antara pukul 4 petang hingga 6 petang pada Jumaat.

Ia merupakan kesalahan di bawah Seksyen 294 Kanun Keseksaan kerana berkelakuan tidak sopan di tempat awam, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

1

Dua lelaki warga asing didenda RM5,000.

Pengarah Pendakwaan Negeri Johor Abdul Ghafar Ab Latif bersama Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Khairuddin Khalid dan Foo Fang Leong membuat pendakwaan manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Semasa prosiding, Abdul Ghafar memohon hukuman yang lebih berat kerana kesalahan itu telah menimbulkan gangguan kepada orang awam.

Beliau juga menyatakan hukuman itu seharusnya menjadi pengajaran kepada pelawat dan penduduk tempatan untuk mematuhi norma negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Kecoh peserta larian berpakaian mencolok mata, promosi LGBT! Polis tahan 3 individu

Mahkamah kemudian menetapkan denda RM5,000 ke atas kedua-dua individu itu atau penjara sebulan sekiranya gagal membayar denda.

Kedua-dua tertuduh membayar denda tersebut.

Terdahulu, Ketua Polis Johor, Datuk M.Kumar mengesahkan menahan tiga lelaki, termasuk dua warga asing, kerana disyaki berkelakuan tidak sopan semasa acara larian berkenaan.

Ketiga-tiga suspek berusia antara 39 hingga 70 tahun ditahan di sebuah hotel di Kota Tinggi sekitar pukul 10 malam pada Sabtu.

Pada Sabtu, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata kerajaan negeri akan menyiasat acara larian kontroversi tersebut selepas kebimbangan dibangkitkan berhubung pakaian peserta yang didakwa tidak sesuai.

Tegasnya, acara itu yang mencetuskan kemarahan di media sosial, tidak dianjurkan oleh kerajaan negeri atau mana-mana agensi di bawahnya. - The Star.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain