CUTI hujung minggu di negeri Johor akan diubah semula kepada hari Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari 2025. Perkara itu diumumkan oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menerusi satu kenyataan di laman Facebook. "Selepas mendapat perkenan dan restu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim serta mendapat pandangan daripada Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), saya ingin mengumumkan bahawa mulai 1 Januari 2025, cuti hujung minggu di negeri Johor akan ditukar kepada hari Sabtu dan Ahad," titahnya pada Isnin. Dalam kenyataan sama, Tunku Mahkota Ismail turut bertitah supaya semua pihak boleh memberi ruang untuk pekerja Muslim menunaikan solat Jumaat pada waktunya. "Saya juga menitahkan agar Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor dan Mufti Negeri Johor mengadakan perbincangan dan meneliti perkara ini dari setiap sudut dan aspek. "Saya berharap agar semua syarikat swasta, pihak kerajaan serta pihak yang berkaitan akan memberi ruang dan masa yang mencukupi untuk para pekerja Muslim menunaikan solat Jumaat pada waktunya," titahnya. Untuk rekod, Sultan Ibrahim telah mengubah cuti mingguan negeri Johor kepada Jumaat dan Sabtu bermula 1 Januari 2014. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube