MAHKAMAH Sesyen mengeluarkan waran tangkap terhadap Hasli Ikhwan Arif Zul Hasli, atau lebih dikenali sebagai 'Hot Daddy' kerana gagal hadir ke prosiding mahkamah. Lelaki berumur 32 tahun itu dijadualkan untuk menghadiri sebutan semula kes di hadapan Hakim Siti Shakirah Mohtarudin berkaitan tuduhan terlibat aktiviti persundalan. Dalam pada itu, waran tangkap turut dikeluarkan terhadap Norshazrina Md Zamri, 27 dan Norhidayah Mahadi, 24. Nama mereka dipanggil berulang kali sewaktu prosiding bermula pukul 9 pagi namun masih tidak kelihatan, menyebabkan prosiding terpaksa ditangguhkan hingga dua jam kemudian iaitu pada pukul 11 pagi. Apabila prosiding disambung semula, kelibat ketiga-tiga tertuduh masih belum muncul, lalu Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Shahrizzat Amadan memohon waran tangkap dikeluarkan terhadap semua tertuduh. Sementara itu, di mahkamah berasingan, Hakim Suzana Hussin turut mengeluarkan waran tangkap terhadap Norshazrina, didakwa di bawah Akta Penapisan Filem 2022. Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 8 November ini. Peguam bela Hot Daddy, Muhammad Faris Abrar Othman berkata dia sudah menghubungi anak guamnya sehari sebelum untuk memaklumkan mengenai prosiding mahkamah pada Isnin. “Saya menghubungi mereka semula hari ini tetapi mereka tidak dapat dihubungi. Ada nada dering, tetapi tidak dijawab,” katanya. Pada 26 Januari lalu, Hasli Ikhwan dan dua wanita didakwa merakam aksi hubungan intim dan menjualnya melalui aplikasi X yang boleh dikategorikan sebagai aktiviti persundalan. Suspek ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), JSJ Bukit Aman pada 17 Januari lalu. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 372(1)(e) Kanun Keseksaan kerana mempromosikan aktiviti seks, yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara hingga 15 tahun dan sebatan serta denda jika sabit kesalahan.- The Star Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube