SEORANG kanak-kanak perempuan yang dilaporkan hilang pada Selasa, 8 Oktober lalu ditemukan selamat. Difahamkan mangsa hilang ketika mengambil makanan dari kereta yang diparkir di sebuah flat sekitar Bandar Bukit Tinggi 1, Klang, Selangor. Susulan kejadian itu, enam individu termasuk dua wanita ditahan kerana didakwa mempunyai kaitan dengan penculikan kanak-kanak tersebut. Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata mangsa berjaya ditemukan kira-kira pukul 2.30 petang pada Sabtu. "Siasatan mendapati mangsa diculik," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad. Hoong Fong berkata berdasarkan maklumat, pihak polis menyerbu beberapa lokasi antaranya Segambut Dalam, Setia Alam dan Pandamaran pada Sabtu. "Empat lelaki dan dua wanita berumur antara 13 hingga 23 tahun ditahan dalam serbuan itu. "Kami turut merampas sebuah kenderaan dipercayai digunakan suspek untuk menculik mangsa," ujarnya. Salah seorang suspek memiliki rekod jenayah. "Kesemua suspek sudah direman," ujarnya. Terdahulu, sekitar pukul 8.59 malam pada 8 Oktober lalu, pihak polis menerima laporan tentang kehilangan seorang kanak-kanak perempuan. Siasatan awal mendapati kanak-kanak itu pergi ke kawasan parkir selepas disuruh oleh ibunya untuk mengambil makanan dari kereta pada pukul 2.20 petang. "Kanak-kanak perempuan itu turun berseorangan dan tidak pulang ke rumah selepas itu. Pada pukul 3 petang, ibu mangsa mula mencari kanak-kanak terbabit tetapi gagal menjumpainya," ujar Hoong Fong. - The Star Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube